10 kes cerai setiap hari di Terengganu

W MOHD ALBAKRI
W MOHD ALBAKRI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Masjid Al-Muktafi Billah Shah bersama Persatuan Peguam Syarie Terengganu menyediakan khidmat nasihat syarie percuma susulan peningkatan kes penceraian di Terengganu yang dilaporkan secara purata sebanyak 10 kes permohonan cerai dalam sehari.

Pengerusi Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Datuk W Mohd Albakri Mohd Noor berkata, program dinamakan Khidmat Nasihat Syari’e (Celik Syariah) itu diadakan secara percuma pada hari Isnin minggu ketiga setiap bulan.

“Panel penasihat terdiri daripada peguam syarie yang bertauliah, ia diadakan selama dua jam bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari dengan kaedah perbincangan dua hala dan boleh dibuat secara individu atau berkelompok.

“Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan mereka yang membuat temu janji akan diutamakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, program julung kali diadakan itu bertujuan membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan khidmat nasihat percuma berkaitan Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Jenayah Islam, prosedur kes Mahkamah Syariah, tatacara pengurusan harta orang Islam dan seumpamanya.

“Masalah perceraian semakin meningkat dan menurut sumber, secara purata, sebanyak 10 kes permohonan cerai dikemukakan di Terengganu ini setiap hari yang mana melibatkan golongan berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Kes perceraian ini termasuk permohonan cerai taklik dan perceraian di luar mahkamah. Hal ini menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan pada masa kini berada dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya.

Menurut W Mohd Albakri, kebanyakan suami dan isteri tidak tahu mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam Islam, akibatnya anak-anak yang menjadi mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Antara masalah yang timbul selepas penceraian ialah kes nafkah tertunggak, tuntutan harta sepencarian, hadhanah dan lain-lain. Selain anak-anak, pasangan juga turut terkesan, terutamanya dalam hal pengesahan talak, lafaz cerai dan hak-hak selepas perceraian.

“Bukan itu sahaja, kini, permasalahan berkaitan pengurusan harta orang Islam juga menjadi masalah besar dalam masyarakat seperti pusaka, wasiat, hibah dan sebagainya.

“Oleh itu, bagi mengelak individu tertentu teraniaya dan terabai disebabkan perceraian, kematian dan lain-lain, penting bagi masyarakat untuk mengetahui tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagaimana yang tertakluk dalam perundangan Syariah,” katanya.