Aksem Perlis rampas racun, baja

Syed Basri (tiga, dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan yang diperolehi susulan penahanan suspek di Kampung Tok Mengkula Mukim Sanglang, Ayer Hitam Kedah, semalam.
Syed Basri (tiga, dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan yang diperolehi susulan penahanan suspek di Kampung Tok Mengkula Mukim Sanglang, Ayer Hitam Kedah, semalam.
A
A
A

CHUPING - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis berjaya merampas pelbagai racun rumpai yang tidak dibenarkan penjualan serta baja bersubsidi yang keseluruhannya bernilai RM128,910 di Kampung Tok Mengkula Mukim Sanglang, Ayer Hitam Kedah, semalam.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, serbuan di rumah berkenaan dibuat kira-kira jam 9 pagi setelah menerima maklumat mengenai kegiatan terbabit yang didalangi seorang lelaki tempatan.

Katanya, hasil serbuan berkenaan pihaknya berjaya menahan lelaki terbabit yang berusia 34 tahun di rumah berkenaan.

"Kita turut menemui 392 guni baja bersubsidi seberat 20kg setiap satu, 191 guni baja seberat 25kg dan pelbagai jenis racun yang tidak dibenarkan penjualan di negara kita.

"Kami percaya lelaki ini tidak bergerak secara bersendirian dan mereka dalam kelompok yang ramai serta menjualnya di kawasan-kawasan yang lain sekitar utara," katanya, ketika sidang media di Kompleks Aksem Chuping di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, siasatan awal mendapati suspek membeli baja sebatian daripada petani-petani yang menyalahgunakan skim subsidi baja yang diperuntukkan oleh kerajaan.

"Kemudiannya baja tersebut akan dijual semula kepada petani dan peladang di luar negeri Kedah menggunakan lori pada waktu malam," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian Malaysia, Nazli Mat Aris berkata, lelaki berkenaan juga didapati menjual pelbagai racun yang dilarang penggunaannya oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Antara racun berkenaan adalah racun jenis Beynutte yang digunakan untuk kawalan siput gondang dan dijual dengan harga RM5 sebungkus.

"Bagaimanapun racun ini memberi kesan buruk kepada kehidupan akuatik dan juga manusia kerana mengandungi bahan aktif fentin acefate.

"Malah, satu kes kematian pada tahun 2011 dilaporkan di Tanjung Karang, Selangor akibat penggunaan racun terbabit," katanya.

Bagi semua kesalahan terbabit, lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 53A(1)(a) Akta 149 Akta Racun Makhluk Perosak yang memperuntukkan penjara selama satu tahun atau denda RM10,000 bagi kesalahan pertama kali.

Dia juga disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.