Statut Rom: Jangan takbur, terpesona dengan kuasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Jangan takbur dan terpesona dengan kuasa.”

Nasihat itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican berhubung tindakan kerajaan menarik balik keputusan meratifikasikan Statut Rom yang mendapat tentangan ramai pihak.

Menurutnya, keputusan itu adalah langkah yang besar terutama dalam mengembalikan martabat dan maruah Perlembagaan Negara.

“Iktibar kepada kita semua di sebalik episod ini - jangan takbur dan terpesona dengan ‘kuasa’. Kita mungkin merasakan segalanya di atas tangan kita sedangkan ‘hikmah Perlembagaan’ dan ‘daulat Raja-Raja’ terus memayungi aspirasi negara.

“Kembalilah kepada amalan kepimpinan yang ikhlas dan tidak terlalu ujub dengan kekuatan diri. Zaman sudah berubah dan cukup berbeza. Celik kita, tidak bermakna orang lain buta.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas tindakan segera Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas keputusan ini. Ia langkah yang amat wajar pada masa dan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau dan Ahli Parlimen BN yang lain tetap mempertahankan pandangan bahawa Perlembagaan Negara cuba dibelakangkan dalam usaha ratifikasi tersebut.

“Majlis Raja-Raja tidak dirundingi sebaiknya - dan ia terbukti benar dan sahih!

Artikel Berkaitan:

“Kelemahan komunikasi, kegagalan membina kebolehpercayaan rakyat secara umum berkenaan ratifikasi ini tidak pernah berlaku,” ujarnya.

Katanya, rakyat pastinya menjunjung kasih akan hikmah kebijaksanaan dan bicara Majlis Raja-Raja berhubung pandangan balas mengenai isu ratifikasi berkenaan.

“Kekhuatiran awal kami, bahawa para Duli Tuanku tidak dirundingi, terbukti benar sama sekali,” katanya.

Pada 4 Mac lepas, Malaysia menandatangani surat cara untuk menerima Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Wisma Putra dalam kenyataan berkata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu pada tarikh berkenaan.

Surat berkenaan kemudian diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

ICC ditubuhkan pada 2002, ditadbir mengikut Statut Rom dan ia adalah mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan perjanjian.

Ia bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.