Padah buat sambungan paip haram

Sains membuat pemeriksaan pada sambungan paip yang dibuat secara haram.
Sains membuat pemeriksaan pada sambungan paip yang dibuat secara haram.
A
A
A

SEREMBAN - Premis memproses ayam antara tiga yang diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Serbuan pada 28 dan 29 November itu, diketuai oleh Pegawai Span iaitu Mohd Shariff Abd Rahman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Span dan Unit Penguatkuasaan Sains.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan pertama di premis memproses ayam di Mantin mendapati premis berkenaan mempunyai akaun berdaftar dengan Sains.

"Namun, penghuni telah membuat penyambungan lain tanpa melalui meter Sains di mana sambungan tidak sah menggunakan paip tidak sah jenis Unplasticisized Venyl Chloride (UPVC) bersaiz 15mm bagi kegunaan memproses ayam dan aktiviti harian.

"Berikutan itu kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dua lagi serbuan pada 29 November dibuat di premis yang menjalankan perniagaan menjual kereta terpakai dan sebuah bengkel kereta di Senawang.

Beliau berkata, pemilik kedua-dua premis telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis mudah lentur bersaiz 13mm dan 15mm.

"Ujian klorin turut dibuat dan terbukti bekalan air digunakan adalah milik air terawat Sains dan notis makluman kesalahan dilakukan telah dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, katanya, dalam tempoh Januari hingga November, Sains telah menjalankan 40 operasi penguatkuasaan kes curi air yang melibatkan 39 premis komersial dan satu domestik.