Pencemaran kimia tak jejas jumlah pelancong: Exco

Cai Tung (dua,kanan) ketika ditemui pemberita hari ini.
Cai Tung (dua,kanan) ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Insiden pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang bulan lalu diyakini tidak akan memberi kesan negatif yang besar pada kunjungan pelancong dan aktiviti pelancongan di Johor.

Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata, pihaknya juga meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap tindakan kerajaan negeri dalam usaha mengatasi isu terbabit daripada berulang.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kunjungan pelancong khususnya ke bandar raya Johor Bahru tidak terkesan sekali gus memberi impak kepada persediaan Tahun Melawat Johor 2020.

“Kerajaan Johor sudah melakukan yang terbaik untuk perkara itu, kita juga yakin pencemaran ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada kegiatan pelancongan di negeri ini.

“Kita juga tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam atau pengunjung menyatakan ketakutan untuk datang ke Johor hanya kerana isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Karnival Pelancongan Matta Johor, di Capital City, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, mengulas mengenai persediaan Tahun Melawat Johor 2020 nanti, Cai Tung memberitahu pihaknya menyasarkan kunjungan seramai 17.4 juta pelancong ke negeri ini.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan penambahan daripada sasaran 16.6 juta pengunjung tahun ini yang mana merangkumi beberapa aspek ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Kita menetapkan beberapa sasaran, antaranya untuk tahun ini kita juga sasarkan sekurang-kurangnya lapan juta pengunjung bermalam di Johor,” katanya.