Elak jual tapak pada pihak ketiga

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempamerkan pelan lokasi tapak ketika proses pengundian Bazar Ramadan Jalan Raja adalah bagi mengelakkan wujud pihak yang cuba memanipulasikannya dengan menjual tapak pada pihak ketiga.

Pengarah Eksekutif Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, langkah sama telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu untuk tapak bazar Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan ia dilihat berkesan.

Menurutnya, peniaga boleh menyemak kedudukan petak yang diperolehi dalam masa dua hari sebelum mula beroperasi.

“Ini adalah strategi yang disusun DBKL bukannya kelemahan seperti mana yang didakwa oleh Aktivis Masyarakat Gulam Muszaffar.

“Dalam tempoh kurang sebulan lagi bazar akan beroperasi ini, mungkin ada pihak yang akan menjual tapak.

“Jadi jika mereka tahu lokasi petak yang diperolehi, di situ mereka akan main harga berdasarkan lokasi strategik atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, tindakan DBKL untuk tidak mendedahkan pelan lokasi tapak turut mendapat sokongan agensi penguatkuasa sebagai usaha mengelakkan berlaku jualan tapak.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan kes yang dikenal pasti sebelum ini, jualan tapak tidak berlaku kerana peniaga yang berada di tapak bazar adalah pembantu gerai yang telah berdaftar dengan DBKL.

Artikel Berkaitan:

“DBKL sentiasa melakukan langkah penambahbaikan memastikan setiap proses yang berlaku lebih telus dan mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan untung atas angin,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan dakwaan Aktivis Masyarakat, Gulam Muszaffar mendakwa kekecohan yang berlaku ketika proses pengundian Bazar Ramadan Jalan Raja pada Selasa lalu disebabkan kelemahan DBKL.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah pelan tapak lokasi yang tidak disediakan DBKL menyebabkan peniaga tidak berpuas hati.