10 ahli baharu setiap bulan sertai skuad AADK

Baharudin (tengah) bersama sebahagian wakil MPKK Parlimen Kapar ketika Pelancaran Program Training Of Trainers (TOT) dan Skuad AADK di Wisma Persekutuan Klang, hari ini.
Baharudin (tengah) bersama sebahagian wakil MPKK Parlimen Kapar ketika Pelancaran Program Training Of Trainers (TOT) dan Skuad AADK di Wisma Persekutuan Klang, hari ini.
A
A
A

KLANG - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah ini menyasarkan seramai 10 ahli baharu setiap bulan untuk menyertai skuad AADK.

Ketua AADK Daerah Klang, Baharuddin Ahmad berkata, skuad itu bertindak sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di kawasan mereka.

“Skuad AADK ini juga secara tidak langsung membantu melihat dan memantau Orang Kena Pengawasan (OKP) ini supaya tidak terjebak kembali dalam kancah penyalahgunaan dadah.

“Namun, skuad ini tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menyoal siasat penagih dadah kerana tugas itu hanya boleh dilakukan oleh anggota atau pegawai AADK," katanya dalam sidang media selepas Program Training Of Trainers (TOT) di Wisma Persekutuan Klang, di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 25 ahli Skuad AADK dari Parlimen Kapar terdiri daripada pengerusi dan ahli jawatankuasa dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penghulu di bawah parlimen berkenaan menyertai program itu.

“Mereka bertindak menyalurkan maklumat termasuk lokasi penagihan dadah, pengedaran bahan larang berkenaan di samping bekerjasama dalam usaha merawat dan memulihkan penagih.

“Ini adalah kaedah serampang dua mata dalam memastikan pembabitan masyarakat bagi membasmi masalah dadah di negara ini amnya dan daerah ini khususnya.

“Mereka juga memberikan bimbingan serta menyampaikan mengenai bahaya dadah kepada segelintir masyarakat yang terbabit dalam aktiviti dadah di dalam kawasan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kata Baharuddin, sehingga Mac lalu, seramai 778 OKP yang direkodkan di daerah ini berumur lingkungan 21 hingga 50 tahun.

“Kebanyakan mereka bekerja dalam sektor industri pembuatan serta terbabit dalam dadah jenis syabu dan heroin. Mereka perlu diawasi oleh AADK dalam tempoh dua hingga tiga tahun seperti ditetapkan mahkamah.

“OKP perlu menjalani pemeriksaan air kencing sebulan sekali serta menjalani rawatan dan pemulihan. Mereka turut diberikan ceramah serta kaunseling selain membabitkan diri dalam aktiviti masyarakat setempat," katanya.