'Dulu reformasi, kini bawah telunjuk Tun M'

Annuar ketika bercakap kepada pemberita di Kampung Pasir Linsum di sini, malam tadi. - Foto Sinar Harian
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyindir PKR yang didakwanya dulu memperjuangkan reformasi tetapi kini berada di bawah telunjuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sedangkan, kata beliau, tujuan PKR ditubuhkan 20 tahun lalu adalah untuk menentang Dr Mahathir.

"Kenapa saya nak ucapkan selamat maju jaya dan selamat menyambut ulang tahun ke-20 kepada PKR? Kerana saya masih ingat pada 4 April 1999, PKR ditubuhkan kerana mahu melancarkan reformasi.

"Tapi PKR sedar ke tidak PKR duduk di bawah siapa ketika sambutan 20 tahun? Dulu PKR ditubuh untuk jatuhkan Mahathir, tapi lepas 20 tahun PKR duduk bawah telunjuk Mahathir... kesian," katanya ketika berucap dalam ceramah di Kampung Pasir Linsum di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Annuar turut mempersoalkan sama ada penyokong PKR masih mengingati perjuangan reformasi mereka menentang Dr Mahathir.

"Saya masih ingat dulu mereka nak reformasikan dasar-dasar yang dijalankan oleh Dr Mahathir.

Sempena 20 tahun ini mari kita ingatkan balik yang nak direformasikan itu apa?

"Kalau dulu nak reformasi sistem perundangan yang dikatakan berat sebelah. Sekarang adakah mata kamu buta, telinga pekak atau hati jadi terlalu keras untuk melihat di depan mata bagaimana urusan keadilan dan mahkamah sedang dijalankan oleh orang sama yang dulunya kamu tentang," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia