Hibah TH pada kadar 1.25 peratus

Mujahid ketika mengumumkan hibah Tabung Haji bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus, kepada semua pendeposit. - Foto Sinar Harian/ZAHID IZANI
Mujahid ketika mengumumkan hibah Tabung Haji bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus, kepada semua pendeposit. - Foto Sinar Harian/ZAHID IZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Penantian 9.3 juta pendeposit Tabung Haji berakhir apabila Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus, kepada semua pendeposit.

Agihan hibah yang membabitkan jumlah sebanyak RM 913 juta dengan mengambil kira RM85.5 juta zakat dibayar TH kepada pusat pungutan zakat negeri di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan Majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tabung Haji dan Pengumuman Hibah bagi tahun 2018.

Mujahid berkata, peruntukan itu diputuskan akibat kesan kelemahan dan salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu.

"Selama empat tahun berturut-turut, dividen dan hibah dikeluarkan Tabung Haji dengan melanggar Akta Tabung Haji sendiri," katanya.

Untuk rekod, hibah TH bagi tahun 2017 ialah 6.25 peratus.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, manipulasi akaun telah membolehkan hibah diisytiharkan pada kadar yang tinggi sebelum ini walaupun jurang defisit terus meningkat.

"Kerajaan PH mewarisi TH daripada kerajaan sebelumnya dalam keadaan menyedihkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan berhempas pulas bagi memastikan dividen dan hibah dikeluarkan kepada pendeposit.

"Dalam menzahirkan komitmen ini, kerajaan memberikan peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

"Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan RM 17.8 bilion," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri, Fuziah Salleh dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Yusof serta Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat.

Sementara itu, Zukri mengesahkan hibah bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus adalah yang terendah dalam sejarahnya.

"Ia. Ini yang terendah," katanya menjawab soalan pemberita.

Para pendeposit boleh menyemak pengreditan hibah tersebut bermula Isnin ini.

Mengikut rekod TH, 2012 merupakan tahun tertinggi pemberian hibah TH iaitu 6.5 peratus disusuli 2014 (6.25 peratus dan penambatan 2 peratus hibah haji); 2013 (6 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2015 (5 peratus dan penambahan 3 peratus hibah haji); 2016 (4.25 peratus dan penambahan 1.5 peratus hibah haji) dan 2017 (4.5 peratus dan penambahan 1.75 peratus hibah haji).