Banglo mewah jadi markas sindiket judi online

Mohamad (kiri) menunjukkan rampasan telefon bimbit dalam serbuan itu.
Mohamad (kiri) menunjukkan rampasan telefon bimbit dalam serbuan itu.
A
A
A

AMPANG - Kerap berpindah-pindah dengan menjadikan kediaman mewah kononnya untuk menyukarkan kegiatan dikesan pihak berkuasa.

Itu modus operandi sindiket perjudian online yang dibongkar polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor di sebuah banglo dua tingkat terletak di Taman Hill View, di sini, hari ini.

Liciknya, sindiket ini beroperasi sejak dua bulan lalu dengan mengiklankan beberapa laman web dan mencari pelanggan melalui aplikasi media sosial WeChat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Abd Hamid berkata, Ops Dadu bermula kira-kira jam 9.30 pagi berjaya menahan seramai 26 warga China termasuk empat wanita berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun dipercayai pekerja untuk sindiket berkenaan.

Pelbagai jenama telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan di rumah banglo terbabit.
Pelbagai jenama telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan di rumah banglo terbabit.

"Polis kemudian merampas 329 unit telefon bimbit, tiga buah komputer riba dan sebuah set komputer.

"Siasatan mendapati sindiket ini mensasarkan pelanggan di China sebagai pelanggan mereka," katanya kepada Sinar Harian selepas operasi di lokasi terbabit, hari ini.

Mengulas tentang kegiatan perjudian online ini, Mohamad berkata, pelanggan yang berminat dengan tawaran sindiket ini akan berkomunikasi semula melalui teks. Selepas pelanggan terbabit bersetuju, sindiket akan menyerahkan kod QR serta nombor akaun bagi membolehkan pengaksesan permainan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan mendapati sindiket ini mampu mengaut pertaruhan sekurang-kurangnya RM48 juta sehari, malah dipercayai juga bahawa pekerja terbabit dibayar gaji kira-kira RM3,500 sebulan.

"Pemeriksaan data di sebuah komputer mendapati sindiket ini mempunyai kira-kira 60,000 sehingga 70,000 pelanggan. Mengikut perkiraan, sekiranya pemain membuat pertaruhan serendah RM2, sindiket ini mampu membuat pertaruhan mencecah RM48 juta sehari," katanya.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.