'Satu kenyataan tidak bertanggungjawab'

Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kenyataan Pengerusi KA Petra Sdn Bhd, Datuk Shahrul Amirul mengenai projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) mendapat reaksi Exco Kerajaan Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Menurutnya, beliau ada melihat laporan kenyataan tersebut yang mengatakan projek itu terletak dan beroperasi di luar wilayah Johor kerana ia 3.5 batu nautika dari perairan negeri ini.

"Sebagai bekas pengamal undang-undang dan pelajar undang-undang laut, saya mendapati kenyataan ini adalah tidak bertanggungjawab dari seseorang yang kurang berpengetahuan tentang latar belakang undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wee Tse berkata, dalam Seksyen 3(1) Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) secara dasarnya menyokong definisi laut wilayah seperti ditakrifkan Undang-Undang Laut 1982 iaitu pada 12 batu nautika.

Katanya, sementara Seksyen 3(3) Akta yang sama menjelaskan had bidang kuasa negeri pada tiga batu nautika.

"Masalahnya, Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengubah sempadan mana-mana negeri.

"Tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja," katanya.

Beliau berkata, sejauh diketahuinya, tiada gerakan atau enakmen seperti itu diluluskan di Dewan Negeri Johor, selain mendapat perkenan diraja daripada sultan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, adalah satu pencabulan Perlembagaan Persekutuan melainkan, dan sehingga negeri meluluskannya di bawah mekanisme undang-undang sedia ada.

"Ini bukan isu baharu, memandangkan sebelum ini Sabah, Sarawak dan Kelantan juga mencabar bahagian dalam Akta Laut Wilayah ini.

"Kita sentiasa berwaspada dan mempertahankan hak negeri kita sekiranya mana-mana pihak berusaha untuk mencabar kedaulatan kita," katanya.