Lapan bulan itu lama tau: Elisya Sandha

Elisya Sandha
Elisya Sandha
A
A
A

TAHUN ini merupakan tahun keenam pembabitan pelakon remaja, Elisya Sandha dalam dunia seni.

Mula berlakon sejak usia 15 tahun, dia mengakui belum lagi mendapat sebarang tawaran bagi membawakan watak utama. Harapannya suatu hari nanti akan diberi kepercayaan tersebut.

Berkat kesabaran, akhirnya Elisya bersyukur apabila diberi peluang menggalas watak utama menerusi drama bersiri 80 episod terbitan Orangetree Production Sdn Bhd bertajuk Puteri Yang Ditukar, untuk saluran Astro.

No Image Caption



“Insya-ALLAH saya akan berlakon untuk drama bersiri panjang dan pada kali ini saya dapat watak utama setelah sekian lama saya nantikan, alhamdulillah rezeki semakin terbuka.

“Dalam masa sama, ia juga satu cabaran buat saya kerana akan banyak melakonkan babak sedih. Saya tahu bukan senang nak berlakon dan mengekalkan emosi sepanjang siri itu nanti,” ujarnya.

Gadis manis 20 tahun ini juga mengakui yang sebenarnya dia belum bersedia untuk berdepan dengan episod panjang, bagaimanapun dia akan buat yang terbaik untuk mengekalkan momentum watak berkenaan.

No Image Caption

“Pada mulanya saya menjangkakan 15 episod sahaja tetapi ini 80 episod dan dapat pula watak sebagai pelakon utama. Lapan bulan itu lama dan bukan sesuatu yang mudah. Jadi benar-benar akan menguji fizikal dan mental.

“Sebelum ini pernah bawa watak berat sebagai remaja mengandung yang membuatkan jadi tertekan. Kali ini pula bawa watak seorang yang miskin dan terpisah daripada keluarga serta mengalami pelbagai konflik lain. Memang satu cabaran untuk saya,” akuinya.

Artikel Berkaitan:

Elisya atau nama penuhnya Nur Elisya Mohd Faisal merupakan adik kepada aktres terkenal, Fasha Sandha. Katanya, dia mahu melenyapkan pandangan skeptikal masyarakat bahawa dia boleh berdiri di atas bakat sendiri dan bukan menumpang populariti kakak.

“Alhamdulillah, dulu ramailah yang cakap saya tumpang nama kakak. Tidak dinafikan nama Elisya Sandha dan Fasha Sandha sangat dekat nama pun adik beradik.

“Bagaimanapun dengan adanya banyak drama lakonan saya, masyarakat sudah mula nampak bakat saya sendiri bukan sebab nama kakak. Jadi saya bersyukur sangat,” luah pelakon Encik Imam Ekspress ini.