Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia mengambil keputusan menarik diri dari meratifikasi Statut Rom yang diiktiraf di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan keputusan itu hasil daripada mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita dapat maklumat tentang usaha pihak tertentu yang menghalang perkara ini, (mereka) cuba libatkan Raja-raja untuk menentang kerajaan, terutamanya saya.

"Ramai tak faham isu ini (Statut Rom) ini. Kerajaan tarik balik bukan sebab kami takut, tapi mereka guna Statut Rom sebagai alat politik," katanya ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Beliau menambah, tekanan politik yang diterima daripada pihak penentang Statut Rom ini cuba memburukkan kerajaan dan dirinya sebagai Perdana Menteri.

“Mereka cuba untuk memburukkan kerajaan, mereka tuduh saya pengkhianat kepada bangsa dan negara malah mereka kata jika kita tandatangan Statut Rom ini, negara akan tunduk dengan kuasa asing.

"Sedangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak curi duit, jual tanah mereka satu patah pun tidak tegur.

“Saya akan ambil tindakan terhadap mereka, tidak kira siapa pun, mereka tahu saya sangat tegas dalam hal-hal penyelewengan terutamanya penggubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

“Mereka pengecut, sekarang baru bersuara nak pertahankan hak orang Melayu, sebelum ini Najib menyeleweng (mereka) tak cakap apa. Mereka gelar saya Mahazalim, Mahafiraun, tetapi masih terima saya sebagai pemimpin,” ujarnya.

Pengerusi PH itu, menyatakan beliau benar-benar kesal dengan tindakan penentang Statut Rom, sedangkan undang-undang ini tidak menzalimi atau menganiaya mana-mana pihak termasuk Raja-raja Melayu, sebaliknya memberi keadilan yang sama rata kepada semua tanpa diskriminasi.

“Mungkin kekurangan kerajaan ialah tiada masa untuk menjelaskan kepada semua orang bahawa Statut Rom ini bertujuan memelihara hak kita, dan tidak sempat untuk mengadakan debat terbuka supaya rakyat faham.

“Dan hasil daripada keputusan Kabinet pagi tadi, kita tarik balik Statut Rom. Saya harap pihak yang menentang perkara ini tidak lagi memainkan lagi isu ini dan Raja-raja yang percaya kepada pihak tersebut akan berasa senang hati.

“Sedangkan mereka tidak tahu Statut Rom ini tidak akan menidakkan hak kita, amalan negara kita dan undang-undang di negara kita.

"Mungkin negara lain terima kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) tapi Malaysia tidak pernah bersetuju dengan perkara itu, mereka anggap saya mungkin akan bunuh orang beramai-ramai, tarik hak istimewa Melayu, semua ini tidak benar,” jelas Dr Mahathir.

Hari ini, Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perakuan Statut Rom, yang ditandatangani kerajaan secara diam-diam, yang didakwa bertentangan dengan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, akan dibawa ke Istana Selangor untuk tindakan lanjut.

Katanya, satu memorandum berhubung bantahan dan kebimbangan UMNO terhadap Statut Rom akan diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat sebelum disusuli dengan tindakan selanjutnya yang lain.