Sedapnya nasi arab 'terbalik'

Nasi arab Maqlubah dihidangkan di dalam dulang.
Nasi arab Maqlubah dihidangkan di dalam dulang.
A
A
A

PONTIAN - Sebaik sahaja melangkah masuk ke Pusat Informasi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian yang terletak di Jalan Dato Ali, kelihatan beberapa meja disusun dengan penuh rapi dan terpampang kain rentang Al-Ashaab Nasi Arab.

Konsep makan secara terbuka dan santai dengan deruan bunyi angin membuatkan Al-Ashaab Nasi Arab berbeza dengan restoran berkonsepkan negara timur tengah yang biasa akan memasang lagu-lagu arab dan berhawa dingin.

Pemiliknya, Izulkifli Yusof berkata, nasi arab Maqlubah yang terkenal di Jordan menjadi menu istimewa disajikan kepada pengunjung bermula seawal jam 11 pagi.

Menurutnya, pelbagai jenis nasi arab yang kini telah menjadi pilihan antara rakyat Malaysia antaranya Mandy, Bukhari, Habsah, Maqlubah dan Khusairy.

Namun, beliau lebih berminat terhadap nasi arab Maqlubah yang dirasakan lebih memenuhi citarasa rakyat Malaysia.

Ini kerana nasi arab Maqlubah tidak terlalu berempah dan mempunyai rasa yang unik kerana kambing atau ayam akan digoreng sebelum dimasak bersama nasi.

Bagi Izulkifli, pengalaman sewaktu dia menuntut di Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir selama lapan tahun memberi banyak idea dan inspirasi kepadanya untuk menghasilkan nasi arab.

Nasi arab Maqlubah yang telah dimasak diterbalikkan sebelum dihidang.
Nasi arab Maqlubah yang telah dimasak diterbalikkan sebelum dihidang.

Artikel Berkaitan:

Akuinya, bukan bercita-cita mahu menjadi seorang cef, namun minatnya terdorong untuk mengusahakan restoran nasi arab selepas melihat sambutan orang ramai terhadap menu berkenaan cukup menggalakkan.

"Selepas tamat belajar di Mesir pada 2002, saya pulang ke Malaysia dan mula bekerja sebagai guru di Pontian.

"Saya memang minat berniaga dan melihat nasi arab ini mempunyai potensi untuk dijadikan menu utama di restoran kerana ramai yang gemar nasi arab," katanya.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Benut, Pontian tidak menunggu lama untuk menjual nasi arab.

Memilih lokasi perniagaan pertama berdekatan Masjid Jamek Benut, sambutan diberikan sangat baik lantas mengambil keputusan untuk membuka sebuah lagi restoran di Eco Merbah Resort.

"Syukur saya diberi peluang untuk berniaga arab di bandar Pontian dekat Pusat Informasi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian.

"Walaupun baru dua bulan dibuka di sini, sambutan diberikan cukup baik, ramai yang suka makan nasi arab di dalam dulang," katanya.

Izulkifli (kanan) di hadapan Restoran Al-Ashaab dekat Pusat Informasi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian.
Izulkifli (kanan) di hadapan Restoran Al-Ashaab dekat Pusat Informasi Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian.

Bercerita tentang menu nasi arab Maqlubah yang dihasilkan, Izulkifli berkata, selepas nasi yang bersama ayam dan kambing masak, ia akan diterbalikkan.

Katanya, Maqlubah bermaksud terbalik, di mana hidangan yang telah siap dimasak akan diterbalikkan sebelum disajikan.

Beliau memberitahu proses memasak nasi arab Maqlubah bermula dengan merebus ayam atau kambing selama dua jam bersama rempah yang dihasilkan sendiri.

Kemudian, kambing atau ayam yang telah direbus itu akan digoreng bersama kentang, bunga kubis dan terung sehingga keperangan dan akan diletakkan di lapisan paling bawah.

"Beras basmathi digunakan sebagai bahan utama. Pemilihan beras basmathi dibuat kerana beras ini tidak mudah patah ketika dimasak.

"Selepas dicuci, beras basmathi akan direndam. Kemudian beras akan dimasak bersama ayam dan kambing yang telah siap digoreng menggunakan air rebusan kambing sehingga nasi masak iaitu kira- kira 20 minit," katanya.

Izulkifli berkata, nasi arab Maqlubah dimakan bersama salatah iaitu salad sayur-sayuran dan sup.

Katanya, minuman Karkadih iaitu air roselle yang diimport dari Mesir akan disajikan kepada pelanggan.

Selain itu, teh arab yang mengandungi campuran herba, daun pudina dan pelaga turut diberikan kepada pelanggan selepas mereka menikmati nasi arab.

"Menu lain yang disediakan di sini ialah kacang pool, koktail buah-buahan dan shawerma iaitu ayam yang digulung bersama roti," katanya.

Memandangkan sambutan yang diberikan cukup menggalakkan beliau bercadang untuk melanjutkan operasi restoran dikenali sebagai Al- Ashaab itu sehingga jam 11 malam bermula pada tahun depan.

"Ramai pelanggan dari Johor Bahru mahu restoran dibuka waktu malam. Ini kerana pada waktu siang mereka bekerja.

"Lagipun Pontian dan Johor Bahru tidak jauh, jadi mereka boleh datang pada waktu malam. Waktu malam juga lebih santai," katanya.

Katanya, restoran nasi arab yang diusahakan memberi lebih pilihan kepada pengunjung yang datang ke daerah Pontian yang sememangnya terkenal dengan menu asam pedas dan makanan laut segar.