Lebih 500 penduduk ‘pindah’

Simulasi banjir bantu penduduk 10 kampung dekat Empangan Kenyir bersedia

A
A
A
HULU TERENGGANU - Limpahan air Empangan Kenyir berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan lebih 500 penduduk termasuk pelajar sekolah terpaksa ‘berpindah’.

Kesemua mangsa daripada 10 kampung dan empat sekolah berdekatan empangan dipindahkan ke Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) setelah siren kecemasan berbunyi berikutan paras air mencecah 153 meter (paras bahaya).

Bagaimanapun, semua yang terlibat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing beberapa jam selepas itu kerana itu hanyalah latihan sempena Program Keselamatan Empangan Latih Amal Tindakbalas Kecemasan Penduduk Mukim Jenagur dan Kuala Berang, Khamis lalu.

Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Terengganu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu turut dijayakan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang serta Pejabat Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu.

Simulasi pertama berskala besar

Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Zalizan Sulong berkata, program itu sebagai persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir akibat limpahan air empangan atau situasi luar jangkaan.

Menurutnya, simulasi itu diadakan setiap tahun bermula 2016, namun kali ini diadakan dalam skala lebih besar termasuk melibatkan lebih 20 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti kelab amatur serta kelab 4x4.

“Tumpuan program kepada bencana banjir akibat limpahan air dari Empangan Kenyir. Seramai 523 mangsa terlibat daripada 10 kampung dan empat sekolah yang berisiko banjir dipindahkan dalam simulasi ini.

“Sekiranya kejadian sebenar, jumlahnya lebih ramai. Simulasi kali ini satu kampung lebih kurang 40 orang sahaja. Penduduk didedahkan cara sebenar atau tindakan perlu dilakukan jika kejadian benar-benar berlaku.

Anggota keselamatan melihat laporan semasa banjir bagi daerah Hulu Terengganu.
Anggota keselamatan melihat laporan semasa banjir bagi daerah Hulu Terengganu.



“Pendedahan sebegini juga satu bentuk latihan berkesan bagi semua pihak terlibat seperti pasukan keselamatan atau jabatan berkaitan. Koordinasi gerak kerja dapat lancarkan lagi operasi dalam situasi sebenar,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, TNB sentiasa memantau paras air di empangan dan dalam situasi sebenar, siren kecemasan akan terus dibunyikan sekiranya air mencecah 150 meter iaitu paras berjaga-jaga.

“Siren kecemasan (putus-putus) dibunyikan terlebih dahulu, penduduk perlu bersiap sedia untuk berpindah. Apabila paras air cecah 153 meter (paras bahaya), siren dibunyikan secara berterusan dan penduduk perlu segera berpindah.

“Untuk naik ke sesuatu aras ia memakan masa, misalnya daripada 150 kepada 153 meter, peningkatan tiga meter ini ambil masa lebih kurang dua hari jika hujan lebat berterusan. Penduduk sempat berpindah,” katanya.

Penduduk sambut baik latihan

Sementara itu, tinjauan mendapati penduduk yang terlibat menyokong penuh program tersebut kerana mampu membantu mereka melakukan tindakan tepat dan cepat jika berlaku kecemasan.

Malah, mereka juga yakin pengalaman situasi simulasi itu membantu melancarkan lagi operasi membantu dan memindahkan mangsa secara lebih sistematik sekali gus dapat menyelamatkan mangsa.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Pasir Nering, Ibrahim Wahab berkata, latihan sedemikian penting bagi memberi kesedaran kepada orang kampung sekiranya benar-benar berlaku bencana banjir.

“Jarak Kampung Pasir Nering dengan empangan lebih kurang 10 kilometer sahaja dan jika berlaku limpahan air, kedalaman di kampung dijangka 12 meter. Hampir keseluruhan kawasan akan tenggelam.

“Melalui latihan ini orang kampung dapat tahu tindakan perlu dilakukan mereka sebaik dengar bunyi siren kecemasan. Kita juga telah kenal pasti tempat berkumpul sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan.


Suasana di pusat pemindahan di Dewan MDHT, Kuala Berang.
Suasana di pusat pemindahan di Dewan MDHT, Kuala Berang.



“Diharapkan latihan sebegini terus diadakan kerana ia benar-benar penting dan berguna. Komuniti kampung juga diharapkan dapat berikan kerjasama sebaik mungkin apabila program ini dilaksanakan,” katanya.

Bagi seorang moyang tiga cicit dari Kampung Temir, Mohd Ali, 84, walaupun tidak pernah lagi berpindah selepas Empangan Kenyir beroperasi, latihan itu penting bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Saya tinggal di Kampung Temir, kalau dulu sebelum ada dem (empangan) tiap-tiap tahun mesti banjir sampaikan boleh kayuh perahu dalam rumah. Bulan April atau Mei, buat perahu jalur sebagai persiapan banjir.

“Lepas ada dem, banjir tak lagi berlaku seperti dulu. Macam mana pun, kadang-kadang ada juga rasa takut sebab tinggal dekat dem, terutama musim hujan.

“Latihan yang dibuat ini molek (bagus), sekurang-kurangnya kita tahu apa perlu dibuat kalau air dem melimpah,” katanya.