Salah guna kuasa: SPRM reman bekas Penolong Eksekutif Felcra

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah reman, hari ini.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah reman, hari ini.
A
A
A

IPOH - Bekas Penolong Eksekutif di Felcra Urus Estet Changkat Jong, Teluk Intan ditahan reman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan pemilikan 13 lot tanah milik Felcra Berhad antara 2007 hingga 2018.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Ipoh oleh Penolong Pendaftar, Azuratul Akmar Abdul Ghafar yang memerintahkan suspek direman bermula hari ini hingga Isnin.

Lelaki berusia 56 tahun itu dipercayai menggunakan kedudukannya sewaktu bertugas untuk mendapatkan pemilikan 13 lot tanah dengan cara menamakan kroni-kroninya kepada Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah (JKPTD) Hilir Perak.

Sumber memaklumkan, nama-nama itu dinamakan sebagai peserta di satu kawasan Rancangan Pertanian Berkelompok di bawah Projek Tanah Milik Felcra Berhad sebelum dipindah milik kepada diri sendiri dan saudaranya selepas lima tahun.

"Sebagai peserta projek tersebut, suspek bersama saudaranya menerima bayaran dividen daripada Felcra Berhad dengan jumlah terkumpul lebih RM1 juta bermula 2008 hingga sekarang.

"Antara 2012 hingga kini, lelaki itu juga giat meminta wang suapan berjumlah RM40,000 bagi setiap ekar tanah daripada beberapa penduduk setempat dan kenalannya sebagai balasan memasukkan nama-nama dalam JKPTD Hilir Perak untuk mendapatkan tanah berstatus rizab Melayu kepada bukan Melayu," katanya.

Sumber berkata, suspek ditahan jam 11.17 malam tadi di Pejabat SPRM Perak selepas memberi keterangan membabitkan kes berkenaan.

Katanya, hasil penggeledahan di rumah suspek, semalam menemui harta yang disyaki hasil kegiatan rasuah iaitu dua kenderaan jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux, dua set perabot sofa mewah, 22 beg tangan mahal berjenama, sembilan geran lot tanah atas nama suspek dan saudaranya serta sebuah banglo anggaran bernilai lebih kurang RM600,000.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan aset yang dimiliki dianggarkan melebihi RM1 juta berbanding kemampuan emolumen yang diraih oleh suspek," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.