MB Terengganu tunjuk 'skill' menembak

fg
fg
A
A
A

SETIU - Pasukan Menteri Besar Terengganu muncul juara menembak kategori jatuhan piring dalam Kejohanan Menembak Antara Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Pasukan disertai lima penembak termasuk Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokthar itu melakukan jatuhan 10 piring dalam masa 22.65 saat sekali gus menewaskan 10 pasukan lain dalam acara yang berlangsung di Lapang Sasar Lembah Bidong, di sini.

Kumpulan itu turut diwakili Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali, Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail, Timbalan Mufti Terengganu A Hadi Othman dan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris.

Hadir sama menyertai kejohanan ialah ADUN daripada kerajaan dan pembangkang, pegawai-pegawai kanan polis, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Menembak Negeri Terengganu.

Pasukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dari pasukan No 2 yang bersaing dalam acara tersebut turut menjadi tumpuan, namun pasukannya hanya menduduki tempat ketiga di peringkat suku akhir setelah tewas tipis kepada pasukan Ahmad Samsuri.

Kejohanan tersebut disertai oleh 59 peserta lelaki dan 28 peserta wanita dalam dua kategori iaitu acara berpasukan jatuhan piring dan individu Central Fire (target).

Bagi kategori lelaki, individu Central Fire dimenangi Amairuddin Alias dari Persatuan Menembak Negeri.

Kategori wanita dimenangi isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, To’ Puan Aida Tengah.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan tersebut adalah anjuran DUN Terengganu dengan kerjasama Polis Kontinjen Terengganu dan MSNT sempena Penggal Kedua Persidangan DUN Terengganu Keempat Belas yang berakhir pada hari sama.