Eksekutif jualan tak mengaku beri suapan dapatkan diploma

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif jualan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen buat kali keempat hari ini atas pertuduhan memberi suapan bagi mendapatkan Diploma Pentadbiran Perniagaan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur tanpa mengikut prosedur pada Januari tahun lalu.

Tertuduh, C Vijayakumar, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 33 tahun itu didakwa meminta untuk dirinya daripada Muhamad Amir Safwan Rusli, suapan RM3,500 sebagai upah untuk dirinya mendapatkan sijil Diploma in Business Administration daripada universiti berkenaan atas nama Mohd Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara di sini pukul 2.40 petang, 18 Januari 2018.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Ameelyna Zaini menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin namun dia yang diwakili peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan meminta jaminan dikurangkan kepada RM2,000.

Bagaimanapun Nor Ameelyna memohon jaminan dikekalkan dan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah didakwa di Mahkamah Shah Alam berhubung kesalahan sama kelmarin.

Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan me memindahkan kes itu ke Mahkamah Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Vijayakumar dan peniaga Mark Aaron Pious, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM3,000 atas kesalahan sama.

Dia dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebelum itu, pada 30 dan 31 Januari lepas, Vijayakumar mengaku tidak bersalah di mahkamah sama serta Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah juga berkaitan sijil tidak bertauliah.