Abdul Hadi sah bantu kempen Tok Mat

Abdul Hadi diiringi petugas keluar dari Masjid Rusila selepas berakhirnya kuliah di masjid itu, hari ini.
A
A

MARANG - Walaupun baharu keluar hospital, ia tidak menghalang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meneruskan rutin mingguannya menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan akan turun berkempen membantu calon BN, yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam PRK DUN Rantau.

"Insya-ALLAH saya akan pergi dan Alhamdulillah kesihatan (juga) bertambah baik," katanya ringkas ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini, pagi ini.

Kempen itu adalah sebagai sokongan kerjasama antara UMNO dan Pas.

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi dimasukkan ke IJN malam tadi

Sebelum ini, Abdul Hadi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan susulan kesihatan.

Pemimpin utama Pas itu pernah dimasukkan ke IJN Mei 2017 untuk menjalani pembedahan penggantian injap jantung dan menerima rawatan intensif daripada pakar-pakar di situ selama sebulan.

Dalam pada itu, PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Mohamad akan cuba mempertahankan kerusi tersebut dan dicabar tiga lagi calon iaitu Dr S Streram (PH) R Malar (Bebas) dan Mohd Nor Yassin (Bebas).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia