Tidak kalah, menang sabar

A
A
A

SIAPA kata kita kalah?. Secara prinsipnya tidak ada kekalahan dalam hidup. Apa yang kalah adalah perasaan dan semangat kita.

Kita rasa kalah kerana kita tidak boleh menang berbanding dengan orang lain. Jika kita boleh bersaing dengan mereka, maka semangat kita akan menjadi kuat, jika sebaliknya, semangat kita akan jadi luntur dan lemah.

Pendek kata, semangat kita ada pada mereka dan bukannya terbina dari dalam diri sendiri. Jika kita berterusan begini, sampai bila pun kita akan sentiasa kalah.

Apa yang ketara, kita sudah tidak yakin untuk memimpin diri sendiri sementelahan pula untuk memimpin orang lain.

Hakikatnya, kita perlu teruskan kehidupan dengan cara kita sendiri. Kita perlu bina kepercayaan dalam diri bahawa kita sama seperti orang lain iaitu tidak lebih dan kurang.

Sebetulnya, ramai yang beranggapan bahawa bila kita mengalah, bermakna kita telah kalah dan mereka menang.

Tambahan pula dengan adanya provokasi daripada pihak ketiga supaya kita jangan mengalah, membuatkan kita semakin kuat untuk menang dan tidak mahu mengalah.

Akhirnya konflik akan berlaku dan terus berlaku dan masing-masing akan menerima mudaratnya.

Artikel Berkaitan:

Malah jika kita diminta bersabar, ramai yang tidak mahu bersabar kerana takut dianggap kalah.

Walhal sabar adalah kemuncak kemenangan. Selain itu, ramai juga yang takut untuk melakukan kesilapan kerana dianggap gagal dan kalah.

Natijahnya, hidup akan menjadi semakin tegang kerana sentiasa mengejar kesempurnaan.

Berkaitan hal ini, Buya Hamka pernah berkata “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua."

Apabila berbicara tentang kehidupan, ramai yang mempercayai ujian dalam hidup. Namun lebih ramai lagi yang takut kalah dengan ujian kehidupan.

Selain ujian, kesakitan dan kesusahan, ujian yang paling besar adalah berhadapan dengan kerenah manusia.

Baru-baru ini sewaktu cuti sekolah, saya bersama keluarga berhenti rehat untuk solat dan makan di sebuah R&R.

Memandangkan kenderaan terlalu banyak, saya meminta semua ahli keluarga untuk keluar dahulu dari kenderaan sambil saya menunggu dengan penuh kesabaran dan keletihan untuk mendapatkan petak parkir.

Akhirnya ada sebuah kereta keluar dari petak parkir dan saya terus menuju ke petak parkir berkenaan. Namun secara tiba-tiba, ada sebuah kenderaan lain telah memicit hon kereta dengan begitu kuat bagi menghalang saya masuk ke petak parkir tersebut.

Saya terus menurunkan cermin kenderaan dan bertanya kepadanya. “Kenapa encik memicit hon kepada saya?” Dia terus menjawab dengan suara yang agak tinggi, “Saya hendak masuk ke petak parkir tu.”

Saya membalas dengan suara yang agak ketar (kerana menahan kemarahan) “Saya kan sampai dahulu, tapi tak apalah, jika Encik hendak parkir, silakanlah. Saya undurkan kereta”.

Namun respons dia mengejutkan saya, “Tak apalah, Encik masuklah, saya cari parkir lain”. Peristiwa itu, secara langsung memberikan pengajaran kepada saya betapa tindakan yang tenang dan sabar akan peroleh kemenangan akhirnya.

Sebetulnya, jika kita tidak bersabar dengan pelbagai kerenah manusia, kita akan berterusan berada dalam kegelisahan.

Kerenah manusia ini pelbagai dan cukup unik. Kadangkala ada manusia yang perangainya seperti ‘Siput’ yang sukar untuk berubah dan maju ke hadapan.

Mereka sudah terlalu selesa dengan hidup dan tidak sedikit pun peduli dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Golongan ini, sudah tidak ‘makan’ lagi dengan motivasi perubahan.

Alasan mereka sangat mudah iaitu, “Cukuplah dengan apa yang ada, tidak perlu melebih-lebih”.

Selain itu, ada juga yang perangainya seperti ‘Tebuan’ di mana pantang disentuh terus menyengat. Pendek kata, golongan ini amat sukar ditegur dan dinasihati sebaliknya kita pula akan dimarahi.

Perangai golongan ini melebihi daripada gelagat ular tedung. Ini kerana ular tedung akan memberikan amaran dengan mengembangkan kepala dahulu sebelum mematuk orang yang mengacaunya.

Namun bagi spesies ‘tebuan’ ini, jika kita tersentuh dengan tidak sengaja pun terus disengatnya. Di samping itu, ada juga yang perangainya seperti ‘belut’ yang begitu lincah dan cukup sukar untuk ditangkap apatah lagi untuk memegangnya.

Jika golongan ini ada di dalam sesebuah organisasi, mereka cukup payah dikawal dan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak melakukan kerja hakiki. Namun jika ada kerja-kerja luar rajinlah pula.

Berhadapan dengan pelbagai ujian ini, kita tidak kalah sebenarnya. Ini kerana kita akan menang sabar. Dalam Islam, sabar merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung.

Malah ALLAH menyebut perkataan sabar lebih 90 kali pada pelbagai tempat dalam al-Quran.

Ketahuilah, daripada Al-Mastaurid bin Syaddad bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Demi ALLAH, tidaklah dunia dibandingkan akhirat kecuali seperti seseorang daripada kalian mencelupkan jarinya ke laut, maka lihatlah apa yang tersisa di jarinya jika ia dikeluarkan dari laut?” (HR Muslim). Justeru, amat tidak berbaloi menangisi kurangnya nikmat dunia kerana kesabaran itu darjatnya begitu tinggi di akhirat nanti.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis