Sidang kemuncak GCC ke-39 bermula hari ini

GCC
GCC
A
A
A

RIYADH - ARAB SAUDI. Sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-39 akan berlangsung di sini, hari ini bagi membincangkan pelbagai isu melibatkan enam negara anggotanya.

Ini merupakan kali kelapan GCC dianjurkan oleh Arab Saudi dan ia akan dipengerusikan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Selain Arab Saudi, lima negara anggota GCC lain ialah Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, kehadiran Qatar dijangka menjadi tumpuan susulan krisis diplomatik yang dilancarkan beberapa negara terhadapnya sejak Jun 2017.

Arab Saudi, Bahrain dan UAE antara negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kerana didakwa menyokong aktiviti militan. Manakala, Oman dan Kuwait dilihat berkecuali.

Minggu lalu, Qatar mengumumkan berhasrat menarik diri dari Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (OPEC) bermula Januari 2019.

Ia satu keputusan yang mengejutkan dan timbul tanda tanya sama ada Qatar akan turut keluar dari GCC.

Malah, tidak dapat dipastikan sama ada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang baru pulang dari lawatan kerja tiga hari ke Malaysia akan menghadiri sidang kemuncak ini atau sekadar menghantar pemimpin tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, di sebalik kemelut itu GCC tetap berkongsi cabaran yang memerlukan kerjasama semua negara anggotanya untuk mencari penyelesaian.

Saudi Press Agency (SPA) sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung GCC, Abdullatif Al Zayani berkata, selain isu politik, keselamatan, ekonomi dan undang-undang, negara anggota juga akan melihat laporan dan cadangan dikemukakan jawatankuasa kementerian.