Program Kedai Harga Patut jual barangan keperluan harian berkualiti pada harga berpatutan


Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh (dua dari kanan) merasmikan KHP milik Koperasi Keluarga Sopri Busil, Tekajong Daro Berhad di Sibu, Sarawak. 
Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh (dua dari kanan) merasmikan KHP milik Koperasi Keluarga Sopri Busil, Tekajong Daro Berhad di Sibu, Sarawak. 
A
A
A
KERAJAAN melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melaksanakan Program Kedai Harga Patut (KHP) bertujuan menyediakan dan meningkatkan aksesibiliti kepada pengguna pada harga berpatutan.

SKM dalam satu kenyataan berkata, KHP merupakan pembangunan kedai baharu atau menaik taraf kedai runcit sedia ada yang menjual barangan keperluan harian berkualiti pada harga berpatutan kepada masyarakat sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini sebanyak 30 KHP melibatkan koperasi telah ditubuhkan di Malaysia dan daripada jumlah tersebut, terdapat tiga koperasi di Sarawak yang terlibat dalam program itu.

"Sebanyak RM4.5 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan melalui SKM untuk pembangunan KHP semenjak tahun 2018 dan sebanyak 3,275 kedai runcit koperasi di seluruh negara telah diwujudkan. "Menerusi jaringan ini, koperasi boleh menjadi platform untuk pengedaran barangan keperluan kepada pengguna. Pada masa sama ia dapat mengurangkan harga barangan melalui pembelian secara pukal yang dilaksanakan oleh koperasi menengah yang terlibat dalam aktiviti pemborongan dan peruncitan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, SKM turut menyediakan bantuan seperti khidmat nasihat, seminar dan bengkel keusahawanan, pemasaran serta program Mentoring & Coaching bagi Penanaman Nanas dan Pengurusan Ladang Kelapa Sawit kepada koperasi di Sarawak.
Artikel Berkaitan:


"Bantuan seperti ini diharap dapat memantapkan lagi perniagaan atau perusahaan yang diceburi oleh koperasi dan sekali gus membantu koperasi meningkatkan pendapatan selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat ke arah yang lebih baik," kata SKM.

Program SKM bersama komuniti adalah salah satu pendekatan baharu untuk mendekati masyarakat yang mana melalui program ini, SKM akan bekerjasama dengan koperasi bagi menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.