RHB perkenal Kad Debit Visa Multi Mata Wang

Pemangku Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB, Nazri Othman (kiri), bersama Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli (tengah), dan Bendahari Kumpulan RHB, Mohd Rashid Mohamad pada pelancaran Kad Debit Visa Multi-Mata Wang RHB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A

RHB Bank Berhad (RHB) memperkenalkan Kad Debit Visa Multi Mata Wang yang menawarkan akses kepada 13 mata wang asing bersama Ringgit Malaysia sekali gus menjadikannya bank pertama melaksanakan pengeluaran tersebut.

Kad Debit Visa Multi Mata Wang RHB dan Kad Debit Visa Multi RHB Premier Mata Wang itu menyokong Dolar Amerika Syarikat, Dolar Kanada, Euro, Yen Jepun, Pound Sterling, Dolar Australia, Dolar New Zealand, Franc Swiss, Dolar Hong Kong, Riyal Afrika Selatan, Rand Afrika Selatan, Dolar Singapura, dan Thai Baht.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pelancaran Kad Debit Visa Multi Mata Wang adalah sebahagian daripada komitmen RHB untuk menjadikan pengalaman perbankan pelanggan lebih mudah, cepat dan lancar.

"Kad debit ini akan memperkasakan gaya hidup pelanggan kami dan menyediakan pintu masuk untuk keperluan kewangan mereka tanpa kerumitan untuk membuka akaun di negara yang berbeza.

"Kami akan meneruskan aspirasi syarikat untuk memberikan kemudahan yang lebih besar dengan membawa perbankan lebih dekat kepada pelanggan kami," katanya pada pelancaran Kad Debit Visa Multi Mata Wang RHB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, pada masa ini RHB mempunyai lebih daripada dua juta kad debit dalam edaran dan pada tahun pertama, Bank menjangka mengeluarkan 15,000 Kad Debit Visa Multi Mata Wang baharu.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, Ng Kong Boon berkata, dengan kad debit itu, rakyat Malaysia tidak lagi perlu pergi ke tukaran wang asing dan bimbang membawa wang tunai yang banyak ketika melakukan perjalanan.

"Lebih penting, mereka akan menikmati kadar pertukaran yang kompetitif bagi 13 mata wang asing apabila menggunakan kad debit tanpa yuran transaksi ini," katanya.

Pelanggan yang sudah mempunyai akaun semasa atau simpanan Ringgit Malaysia dengan RHB Bank, secara automatik boleh memilih untuk membuka akaun multi mata wang.

Untuk info lanjut, sila lawati cawangan RHB Bank terdekat atau hubungi 03-9206 8118.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia