APRIL Bulan Kesedaran Caesarean Sedunia

No Image Caption
A
A
A

APRIL merupakan Bulan Kesedaran Caesarean Sedunia.

Jom ambil tahu serba sedikit kesan pembedahan kepada golongan ibu yang tidak dapat melahirkan anak melalui proses semula jadi ini...

Apakah risiko-risiko utama pembedahan caesarean?

Kesakitan

Keburukan utama pembedahan caesarean ialah kesakitan yang anda terpaksa alami selepas pembedahan. Anda akan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan dan rasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa minggu selepas pembedahan.

Anda akan diberi ubat penahan sakit untuk menangani kesakitan ini, tetapi ia masih akan mengganggu aktiviti seharian anda untuk beberapa ketika. Bacalah artikel kami mengenai penyembuhan selepas pembedahan caesarean.

Jangkitan

Sebelum dibedah, anda akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko terkena jangkitan. Walau bagaimanapun, kira-kira lapan peratus daripada wanita yang menjalani caesarean masih mendapat jangkitan selepas pembedahan. Terdapat tiga jangkitan utama yang perlu diberi perhatian:

Artikel Berkaitan:

  • Jangkitan pada bahagian luka. Tanda-tanda jangkitan pada luka termasuk kemerahan, berair, atau kesakitan yang semakin teruk pada bahagian tersebut.

  • Jangkitan pada lapisan uterus (rahim). Ini dipanggil endometritis. Masalah ini lebih berkemungkinan berlaku jika air ketuban anda pecah lama sebelum anda mula rasa sakit bersalin atau sekiranya anda menjalani banyak pemeriksaan faraj sebelum pembedahan. Tanda-tanda jangkitan ini termasuk pendarahan yang teruk dan berbau serta demam.

  • Jangkitan salur kencing. Semasa pembedahan, sebatang tiub nipis atau catheter akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing anda. Jangkitan boleh berlaku melaluinya.

Darah beku

Mana-mana pembedahan meningkatkan risiko anda mengalami darah beku. Ini boleh jadi serius, bergantung kepada di mana pembekuan itu berlaku. Jika pembekuan berlaku dalam paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian. Tanda-tanda masalah ini termasuk:

  • batuk;

  • sesak nafas;

  • kesakitan atau bengkak pada bahagian betis.

Hubungi doktor anda sekiranya anda mendapat tanda-tanda tersebut selepas pembedahan caesarean.

Doktor mungkin akan memberi anda ubat untuk mencairkan darah dan stoking getah sokongan untuk memperbaiki peredaran darah pada kaki anda. Anda juga digalakkan supaya berdiri dan berjalan-jalan secepat mungkin selepas pembedahan caesarean. Ini akan membantu peredaran darah dan mengurangkan risiko pembentukan darah beku.

Lekatan

Seperti juga pembedahan lain pada bahagian perut atau pelvis, caesarean berisiko menyebabkan lekatan (adhesion) semasa proses penyembuhan. Lekatan ialah kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ-organ pada abdomen anda melekat sesama sendiri atau pada bahagian dalam dinding perut. Kira-kira separuh daripada wanita yang menjalani caesarean mengalami lekatan, dan jumlah ini meningkat kepada 83 peratus selepas tiga pembedahan caesarean.

Lekatan boleh jadi menyakitkan kerana ia mengehadkan pergerakan organ-organ dalaman. Dalam sesetengah kes, ini boleh menyebabkan masalah kesuburan apabila ia menekan tiub falopia atau menyekatnya.

Pembiusan

Kebanyakan pembedahan caesarean dilakukan tanpa pembiusan am (general anaesthetic), yang membuatkan anda tidur. Sebaliknya, anda akan diberi suntikan epidural yang akan mengebaskan perut anda. Epidural lebih selamat bagi anda dan bayi berbanding pembiusan am. Walau bagaimanapun, apa-apa jenis pembiusan melibatkan sedikit risiko. Selepas menerima suntikan epidural, sesetengah wanita mengalami:

  • Sakit kepala yang teruk. Masalah ini melibatkan kira-kira satu peratus wanita.

  • Kerosakan saraf. Ini jarang berlaku dan jika ia berlaku, ia hanya berlangsung selama beberapa hari atau minggu sahaja.

Rasa sakit dan tidak selesa pada bahagian luka pembedahan berlangsung selama beberapa minggu selepas pembedahan.
Rasa sakit dan tidak selesa pada bahagian luka pembedahan berlangsung selama beberapa minggu selepas pembedahan.

Apakah komplikasi lain yang perlu saya tahu?

Komplikasi yang serius sangat jarang, iaitu kurang daripada 1 peratus. Komplikasi serius termasuk:

  • Kecederaan kepada pundi kencing, tiub yang menyambungkan buah pinggang dengan pundi kecing, atau kepada usus besar.

  • Kadang-kadang, dan perkara ini sangat jarang berlaku, doktor mungkin perlu menjalankan pembedahan membuang rahim (histerektomi) sebagai langkah menyelamatkan nyawa.

  • Perlu menjalani pembedahan pada masa akan datang.

Jika anda mengalami komplikasi yang serius sewaktu pembedahan caesarean, anda mungkin perlukan pemindahan darah. Sesetengah komplikasi yang sangat jarang akibat caesarean boleh membahayakan nyawa. Walau bagaimanapun, risiko caesarean membawa kematian adalah sangat kecil, iaitu hanya satu dalam 12,000.

Apakah risiko caesarean kepada bayi saya?

Kemungkinan besar, bayi anda berada dalam keadaan sihat, semasa dan selepas pembedahan. Sesetengah bayi mengalami masalah pernafasan selepas dilahirkan. Walaupun masalah pernafasan selepas caesarean biasanya tidak serius, kadang-kala bayi tersebut perlukan penjagaan khas untuk membantu mereka pulih.

Kira-kira 35 dalam setiap 1,000 bayi mengalami masalah pernafasan selepas caesarean, berbanding lima dalam 1,000 bayi yang dilahirkan secara normal. Masalah pernafasan lebih banyak berlaku kepada:

  • bayi pramatang yang dilahirkan melalui caesarean;

  • bayi yang dilahirkan melalui caesarean yang dijalankan sebelum proses kelahiran bermula.

Ada juga bayi yang terluka sedikit akibat terkena pisau bedah. Kira-kira dua peratus bayi mengalami luka kecil semasa pembedahan caesarean.

Sumber: https://www.babycenter.com.my/