Roti Gardenia naik harga lagi
SHAH ALAM - Pengeluar produk roti Gardenia di Semenanjung Malaysia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bekeries (KL), Koh Chin Huat berkata, ia susulan pengemaskinian harga terhadap 53 jenis produknya.
"Kami telah sedaya upaya mengekalkan harga jualan sebelum ini, tetapi disebabkan harga bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran yang meningkat secara berterusan, menyebabkan perubahan harga perlu dilaksanakan.
"Kami akan sentiasa komited untuk mengekalkan kualiti produk di tahap yang optimum untuk kepuasan semua pelanggan dan pengguna kami," katanya menerusi satu surat.
Perubahan itu antaranya membabitkan harga roti Gardenia Original Classic yang naik 20 sen kepada RM3, manakala harga Gardenia Original Classic Jumbo adalah RM4.30, naik 30 sen.
Roti bijirin gandum penuh Gardenia pula akan dijual pada harga RM4 sementara roti Bran & WheatGerm berharga RM3.50.
Roti krim QuickBites naik 10 sen menjadi RM1.10 dan roti sambal bilis meningkat 20 sen menjadi RM1.50.
Surat mengenai perubahan harga produk roti Gardenia yang dihantar kepada peruncit itu juga tular di media sosial dan turut dikongsi pengguna Twitter yang menggunakan nama @KlutzyKucing.
"Ingatkan 1 September 2022 jumlah jam bekerja dah jadi 45 jam seminggu rupanya 1 September harga roti Gardenia naik," ciapnya.
Perubahan harga itu menyaksikan harga produk roti Gardenia naik lagi dalam tempoh tidak sampai setahun kerana syarikat itu baharu sahaja dilaporkan mengumumkan semakan harga pada 1 Disember tahun lalu.