Makanan percuma buat gelandangan

Shu Qi (dua, kanan) sewaktu merasmikan program perkongsian makanan Kluang di Restoran Jamilah Tepi Sungai, Kluang.
Shu Qi (dua, kanan) sewaktu merasmikan program perkongsian makanan Kluang di Restoran Jamilah Tepi Sungai, Kluang.
A
A
A

KLUANG – Gelandangan serta keluarga daif di daerah ini boleh dapatkan kupon yang disediakan di Restoran Jamilah Tepi Sungai, di sini sebagai peluang untuk mendapatkan makanan secara percuma.

Program Perkongsian Makanan Kluang yang disediakan oleh Pertubuhan Dakwah dan Kebajikan (Ikram) Cawangan Kluang bersama beberapa NGO itu juga bertujuan membantu golongan tersebut dapatkan makanan setiap hari.

Yang Dipertua Ikram Kluang, Ahmad Hashimy berkata, sebagai permulaan hanya sebuah kedai makan terlibat dalam program ini untuk melihat keberkesanan serta sambutan daripada penderma selain penerimaan golongan sasar.

“Kumpulan utama yang menjadi sasaran melalui program ini adalah gelandangan, keluarga yang kesempitan bekalan makanan atau terputus sumber makanan pada hari tersebut dengan satu sajian disajikan untuk sekali bantuan diterima.

“Mereka boleh memilih nilai makanan diperlukan mengikut harga tertera pada kupon dengan mendapatkannya di sudut khas kedai makan ini sebelum menyerahkan kepada kaunter untuk dihidangkan makanan,” katanya.

Beliau ditemui semasa perasmian Program Perkongsian Makanan Kluang oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di Restoran Jamilah Tepi Sungai, Jalan Sultanah, di sini, semalam.

Bagaimanapun, mereka yang hendak makanan tersebut perlu mengisi butir-butir peribadi di belakang kupon berkenaan bagi membolehkan pihaknya menjejaki mereka seterusnya diberikan bantuan sewajarnya jika perlu.

Menurutnya, kupon berkenaan datang daripada orang ramai yang menderma kepada program ini dan boleh didapati dari kedai-kedai yang mengambil bahagian mengikut kadar kemampuan masing-masing iaitu di antara RM1 hingga RM5 untuk satu kupon.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, mereka yang tergolong di dalam golongan yang disasarkan boleh datang terus ke kedai ini untuk mendapatkan kupon berkenaan seterusnya memesan makanan yang diingini untuk mengalas perut.

“Mereka yang berkemampuan pula digalakkan menyokong program ini dengan memberikan sumbangan melalui pembelian kupon agar mereka yang memerlukan dapat manfaat serta mampu menjalankan kehidupan harian dengan lebih sempurna,” katanya.

Menurutnya, program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Daerah Kluang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan dikembangkan ke kedai-kedai makan lain di sekitar bandar Kluang.