Ancaman gajah, penduduk hidup dalam ketakutan

Pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Sri Lukut terpaksa memasang pagar elektrik dengan modal sendiri.
A
A

KLUANG – Kemunculan kumpulan gajah yang sering merayau mencari makan di beberapa kawasan perkampungan orang asli dan Felda terutama di DUN Kahang menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan.

Selain itu, mereka juga mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman seperti pokok pisang, kelapa dan sawit yang baharu ditanam kerana haiwan tersebut memakannya.

Tak cukup dengan itu, haiwan liar berkenaan turut memasuki kawasan yang terlalu hampir dengan rumah penduduk.

Antara kawasan yang sering berdepan ancaman gajah ialah Kampung Sri Lukut, Felda Kahang Timur, Felda Kahang Barat dan Felda Ulu Dengar.

Difahamkan, masalah tersebut bukan lagi baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama.

Penduduk, Sanib Hashim, 56, berkata, susulan itu, ada segelintir penduduk kampung yang mengeluarkan modal sendiri untuk memasang pagar elektrik di kebun kelapa sawit mereka bagi mengelak daripada dimasuki haiwan berkenaan.

“Sekarang ini ancaman gajah di kawasan kampung telah berubah apabila gajah tersebut menyasarkan tanaman penduduk berhampiran kawasan perumahan yang terletak berhampiran jalan utama Kluang-Mersing.

“Kadar kekerapan ancaman gajah juga semakin meningkat dengan kehadiran jumlah yang lebih banyak sejak beberapa tahun lalu dan keadaan ini berlaku di antara dua hingga tiga kali seminggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ancaman gajah ini biasanya berlaku pada waktu malam dan awal pagi sewaktu penduduk kampung sedang nyenyak tidur.

“Mereka hanya mengetahui tanaman dimusnahkan setelah melihat kerosakan pada keesokan harinya.

“Atas sebab itu juga mereka tidak lagi berani menanam pisang, kelapa dan tebu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nordin Adam, 47, berkata, kumpulan gajah itu dipercayai datang dari beberapa kawasan hutan simpan berhampiran dan biasanya berlaku pada awal pagi dan lewat petang.

“Memang isu gajah ini sudah lama dan kami sudah beberapa kali membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Apa yang membimbangkan kami, gajah-gajah ini sudah mula berani pergi berhampiran penempatan penduduk berbanding sebelum ini yang hanya memasuki kebun-kebun sahaja,” katanya.

Penduduk berkawal setiap malam

Ekoran ancaman gajah yang kerap berlaku, golongan belia dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah mengambil inisiatif melakukan rondaan di sekitar kawasan kampung dan berjaga pada waktu malam.

Ahli MPKK Sri Lukut, Mohd Syahrul Ikmal Abu Othman, 24, berkata, setiap hari mereka akan berpecah kepada tiga kumpulan kecil untuk melakukan rondaan secara sukarela dengan menjadikan kediaman ketua kampung sebagai lokasi berkumpul.

“Rondaan ini diketuai oleh Biro Keselamatan MPKK Sri Lukut, Zamri Paknun dan setiap anggota yang melakukan rondaan akan di bekalkan peralatan seperti, lampu, baju keselamatan, dan radio jarak jauh untuk berhubung di antara satu sama lain.

“Selain dapat mengawal ancaman gajah, rondaan ini juga dapat mencegah kes-kes jenayah di kawasan kampung,” katanya.

Menurutnya, masalah ancaman gajah yang kerap berlaku ini menyebabkan ada segelintir penduduk yang sudah lali.

Segera bina santuari gajah

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras DUN Kahang, Haron @ Masron Ariffin berkata, beliau sendiri ada menerima aduan daripada penduduk dari DUN Kahang mengenai ancaman gajah yang berterusan sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, beliau sendiri pernah melihat gajah antara 20 hingga 25 ekor di dalam kebun penduduk di kawasan Felda.

“Saya juga pernah melakukan perjumpaan dengan Perhilitan berkaitan masalah ini dan mereka juga sudah sedia maklum.

“Apa yang pasti, penduduk di kawasan Parlimen Sembrong termasuk DUN Kahang ini tidak mahu dengar banyak alasan sehingga aspek keselamatan mereka terjejas,” katanya.

Justeru, katanya, beliau mencadangkan supaya pagar elektrik yang ada diselenggara dan ditambah baik selain wujudkan longkang gajah di antara 10 hingga 15 kaki selain berharap pembinaan santuari gajah di Kota Tinggi dapat disegerakan.

Menurutnya, jika sebelum ini hanya kampung di sempadan Hutan Simpan Kluang sering menjadi sasaran, kini serangan tersebut beralih ke kawasan perkampungan Orang Asli yang berada di bahagian Taman Negara Endau Rompin-Selai.

Gajah yang sempat dirakam penduduk.
Gajah yang sempat dirakam penduduk.

“Kerajaan negeri perlu mempunyai perancangan jangka pendek dan berterusan agar masalah ini tidak terus menghantui penduduk selain menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap kali gajah memasuki kampung,” katanya.

Kerajaan negeri, agensi berkaitan perlu bertindak

Kerajaan negeri dan agensi berkaitan, terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) digesa mengambil tindakan dan pendekatan sewajarnya dengan segera bagi mengekang pencerobohan gajah di dalam DUN Kahang.

ADUN Kahang, R Vidyananthan berkata, akibat ancaman gajah itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian ribuan ringgit selain keselamatan terancam terutama sekali pada waktu malam.

Lebih teruk, beliau berkata, ancaman kini semakin meluas memasuki kawasan perkampungan Orang Asli yang berada di sempanan Hutan Simpan Taman negara Endau-Rompin berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu di kampung berdekatan dengan Hutan Simpan Kluang seperti Kampung Sri Lukut, Kampung Temigol, Kampung Sahari selain Felda Bukit Tongkat, Felda Ulu Dengar dan Ladang Sindora

“Melihat kepada kawanan gajah yang agak banyak ini, kemungkinan ia datang dari kawasan Hutan Simpan Endau Rompin. Siasatan perlu dibuat kerana jika ia datang dari kawasan habitat mereka pasti ada sesuatu yang tidak kena disana.

“Perlu ada perancangan jangka pendek dan berterusan untuk menangani masalah ini agar ia tidak terus menghantui penduduk selain menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap kali pencerobohan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kehadiran binatang ini ke kawasan penempatan dan kebun tanaman penduduk bukan perkara baharu, namun tiada tindakan konkrit dilakukan oleh kerajaan malah terus berulang dan berulang tanpa jalan penyelesaian.

Beliau mendakwa, setiap kali penduduk membuat aduan, Perhilitan hanya datang menghalau kumpulan gajah berkenaan masuk ke dalam hutan.

Bagaimanapun, jelasnya, ancaman haiwan berkenaan berulang kembali dan melibatkan tempat yang sama setiap kali pencerobohan.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan agar masalah itu tidak terus berulang kerana implikasinya akan terkena pada penduduk yang bercucuk tanam demi sesuap nasi.

“Sebelum ini, pagar serta parit gajah sejauh kira-kira 17km sudah dibina di sempadan Hutan Simpan Kluang dengan perkampungan penduduk dan ia berjaya mengekang kekerapan pencerobohan oleh binatang ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia