Dr Streram wakili semua kaum: Anwar

Dr Streram (tengah) beramah mesra dengan kaum ibu yang menyediakan masakan pada program gotong royong membersihkan kawasan masjid Kampung Siliau sempena kempen PRK DUN Rantau, semalam. - Foto Bernama
Dr Streram (tengah) beramah mesra dengan kaum ibu yang menyediakan masakan pada program gotong royong membersihkan kawasan masjid Kampung Siliau sempena kempen PRK DUN Rantau, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, andainya calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau kali ini, perjuangan beliau adalah mewakili semua kaum di kawasan itu, selaras dengan prinsip keadilan yang diperjuangkan oleh PKR sejak 20 tahun yang lalu.

Beliau berkata PKR memilih Dr Streram sebagai calon di kawasan pengundi majjoriti Melayu disebabkan parti itu berpegang kepada janji untuk meletakkan beliau yang telah dinafikan hak untuk bertanding pada pilihan raya umum tahun lalu..

"Islam tekankan penyelesaian berdasarkan keadilan bukan warna kulit.. sebab itu juga dalam memilih dan menentukan calon di Rantau kita sebagai parti yang punyai prinsip dan idealisme kita mesti pertahankan prinsip itu.

"Kita tidak boleh khianati amanah kita sebab itu kita pertahankan letakkan calon keturunan India di Rantau," katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Khas sempena sambutan 20 tahun PKR yang bertemakan 'Dua Dekad Merakyatkan Reformasi' di Dataran Rantau, di sini malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Sekretariat PH yang juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat, PKR Syed Husin Ali.

Sementara itu Mohamad Azmin berkata, dengan kejujuran dan ketekunan yang telah dibawa PKR sepanjang 20 tahun, beliau meletakkan harapan yang tinggi dan begitu besar bahawa DUN Rantau akan jatuh ke tangan PH buat kali pertama pada PRK ini.

"Kita telah berjaya yakinkan rakyat di peringkat negara, Saya yakin kita juga InsyaAllah akan berjaya yakinkan pengundi di DUN Rantau bahawa wakil yang dapat bawa suara kita dalam DUN Negeri Sembilan adalah Dr Streram calon PH dan PKR, ia bukanlah satu perkara mustahil ia boleh dilakukan," katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera parti untuk bersama-sama menggarap semangat 20 tahun PKR bagi menggembleng seluruh tenaga dan kekuatan mencipta kejayaan bermula di DUN Rantau.

Artikel Berkaitan:

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula berkata sekiranya PH berjaya memenangi kerusi DUN Rantau kali ini, ia adalah satu kemenangan paling berharga dan merupakan hadiah kepada reformasi yang diperjuangkan PKR selama ini.

PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon BN dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. -Bernama