Kanak- kanak enam tahun dipercayai lemas di Sungai Pergau

Suasana di lokasi kejadian malam tadi.
Suasana di lokasi kejadian malam tadi.
A
A
A

JELI- [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam dipercayai lemas di Sungai Pergau berhampiran kawasan lombong emas Kuala Balah, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Adni Ibrahim berkata, mangsa Muhammad Faris Izwan Mohd Fazli, 6, dikatakan ke lokasi kejadian bersama dua rakannya berusia enam dan sembilan tahun untuk mandi sebelum dihanyutkan arus sungai berkenaan.

"Difahamkan kanak-kanak itu ke sungai berkenaan kira-kira jam 5 petang, bagaimanapun menjelang Maghrib mangsa masih belum pulang sebelum bapanya mengesyaki anaknya mandi di sungai berkenaan.

"Bapa mangsa ke sungai berkenaan dan menemui baju anaknya itu sebelum dimaklumkan tentang kejadian oleh dua rakan mangsa," katanya.

Mohd Adni berkata, bapa mangsa kemudian menghubungi pasukan penyelamat untuk kerja mencari dan menyelamat.

“Kami terima laporan pada jam 9.23 malam, saya bersama Pegawai Bomba Kanan II, Ramli Abdullah dan 16 anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja mencari dan menyelamat.

"Usaha mencari turut dibantu pasukan penyelamat lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penduduk kampung, bagaimanapun mangsa belum ditemui,” katanya.

Tambahnya, operasi tamat pada jam 1.20 pagi tadi dan disambung semula jam 8 pagi ini.

Artikel Berkaitan:

Kerja- kerja menyelamat yang dilakukan malam tadi.
Kerja- kerja menyelamat yang dilakukan malam tadi.