Malaysia tetap tolak hubungan diplomatik dengan Israel: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak berganjak dengan pendirian menolak dan mengutuk sebarang kekejaman rejim Israel terhadap Palestin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata pendirian itu juga harus dizahirkan oleh seluruh rakyat Malaysia bagi menunjukkan solidariti dan bersama berjuang mengutuk keganasan dan penindasan ke atas umat Islam di bumi Gaza itu.

"Program bacaan Yasin atau Yaasin4Aqsa yang dilancarkan hari ini merupakan simbol kebersamaan dan solidariti umat Islam di negara ini terhadap penderitaan rakyat di Palestin.

"Benda ringkas baca Yasin, tapi ianya dibaca dengan penuh penghayatan dan mesej menunjukkan bahawa Malaysia prihatin mendoakan keselamatan dan bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin," katanya selepas melancarkan program Yaasin4Aqsa di Masjid Negara di sini malam ini.

Terdahulu, 1,500 orang yang hadir di masjid itu bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjamaah diikuti solat sunat Hajat dan bacaan Yasin.

Turut hadir antaranya Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali serta beberapa lagi duta negara Islam yang lain.

Mujahid turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan memberi sebarang peluang hubungan diplomatik dengan negara terbabit dan menyeru agar Yaasin4Aqsa akan dibuat secara berterusan di seluruh negara.

"Kita harap majlis Yaasin4Aqsa di seluruh negara berterusan bagi mengingatkan semua bahawa isu Palestin ini belum selesai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Israel sejak beberapa hari lepas melancarkan serangan ke atas Gaza dan menambah jumlah tentera mereka di kawasan sempadan pada Isnin lalu yang didakwa sebagai tindak balas pelancaran roket oleh Hamas.

Israel merampas Gaza pada 1967 secara haram sebelum menarik semula tentera mereka pada 2005 dan sejak itu wilayah itu terus bergolak.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata MAPIM telah menerbit dan mencetak satu juta naskah Yasin berjudul Surah Yasin dan Kebangkitan Ummah yang akan diedarkan di seluruh negara.

Sebanyak 100,000 naskhah diedarkan sehingga kini dan disasarkan bermula Ramadan sehingga akhir tahun nanti semua naskhah habis diedar serta dapat mengumpul dana untuk Tabung Al-Aqsa, katanya. - Bernama