Peguam Negara sifatkan rayuan Najib sebagai 'Much ado about nothing'

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah persekutuan hari ini mendengar hujah bahawa Peguam Negara (AG) mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengemukakan sijil pemindahan sesuatu kes ke Mahkamah Tinggi, ataupun untuk menariknya kembali.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata jika AG boleh memulakan, menjalankan dan menghentikan kes jenayah, ia bermakna AG juga boleh menarik balik sijil pemindahan itu.

Beliau menyifatkan rayuan dikemukakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap langkah AG menarik kembali sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan ke atas Najib berhubung dana SRC International dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebagai “much ado about nothing”.

“Pihak pembelaan membuat aduan mengenai jalan yang diambil oleh pihak pendakwaan untuk sampai ke destinasi (Mahkamah Tinggi), pengadu nampaknya bertindak ‘much ado about nothing’ atau ‘a storm in a tea cup,” katanya.

Thomas berhujah di hadapan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dalam tiga rayuan Najib dan satu rayuan pihak pendakwaan.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa tindakan pihak pendakwaan menarik balik sijil itu sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku memandangkan kes itu masih berada di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata selepas sijil itu ditarik balik, anak guamnya perlu dilepas dan tidak dibebaskan, dan kes itu seharusnya bermula kembali sepenuhnya di Mahkamah Sesyen.

“Mungkin disebabkan maruah dan ego, pihak pendakwaan tidak memohon Hakim Mahkamah Tinggi untuk memulakan kes ini sekali lagi di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu panel itu mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib supaya pihak pendakwaan mengemukakan surat pelantikan pendakwa ‘ad-hoc’ Sulaiman Abdullah.

Panel itu turut mendengar rayuan Najib berhubung keengganan Mahkamah Tinggi mengeluarkan arahan bagi menghalang pihak media dan orang ramai daripada membincangkan merit kesnya.

Pendengaran akan bersambung esok.

Najib membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenepikan rayuannya berhubung permohonan bagi mendapatkan dokumen tambahan, permohonan bagi menghalang pihak media dan orang ramai berbincang mengenai merit kesnya, dan langkah Peguam Negara menarik kembali sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan, pada 21 Mac, bagaimanapun membenarkan rayuan Najib yang mahukan pihak pendakwa menunjukkan surat pelantikan pendakwa ad hoc Datuk Sulaiman Abdullah kepada pihak pembela.

Pada 27 Mac lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan perintah penangguhan perbicaraan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan kepada Najib sehingga selesai rayuannya berhubung perkara interlokutori, dan mengarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh perbicaraan.

Kes beliau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang seterusnya menetapkan 3 April sebagai tarikh perbicaraan dan pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan pada hari berkenaan.

Perbicaraan akan disambung dari 15 April sehingga 10 Mei ini.

Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kedudukan, di samping tiga pertuduhan penggubahan wang haram berhubung dana SRC International yang berjumlah RM42 juta. - Bernama