Lima keluarga terselamat dalam kebakaran

Penduduk melihat keadaan rumah mereka yang hangus terbakar.
Penduduk melihat keadaan rumah mereka yang hangus terbakar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang anak mengejutkan ibu bapanya yang sedang nyenyak tidur menyelamatkan nyawa lima keluarga di Kampung Usaha Jaya dalam kebakaran awal pagi semalam.

Kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah rumah tinggalan arwah datuknya yang merebak cepat ke empat buah rumah setinggan yang lain.

Menurut Ani Sabirin, 45, anak lelakinya mengejutkan dia dan suami, Mohd Aseri Md Zain, 45 memaklumkan rumah arwah bapanya itu dijilat api.

"Anak kejut kami dalam pukul 1.50 pagi jerit api, api! Saya keluar rumah tengok api dah besar di rumah arwah.

"Memang tak sempat selamatkan apa-apa sebab rumah arwah dengan rumah saya sebelah-sebelah saja.

"Lepas rumah saya, api merebak ke rumah jiran-jiran," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Ani sayu mengenangkan rumah yang didiami sejak berusia 10 tahun kini hangus terbakar.

Lebih menyayat hati, semua barangan sekolah anak-anaknya, kereta pertama dibeli sewaktu awal perkahwinan dan motosikal arwah bapanya tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Suami saya paling sayang kereta itu tapi sebab bateri kereta dah dicabut jadi kami tak dapat nak alih. Motosikal arwah pun tak sempat.

"Barang sekolah anak, baju dan buku-buku pun habis terbakar," katanya.

Menurutnya, barangan hantaran untuk majlis pertunangan anak lelakinya Jun ini dan barangan bayi bakal cucunya turut hangus.

"Kita memang dah siap beli semua barang untuk hantaran tunang, majlis lepas raya ini tapi tak ada rezeki kami.

"Menantu mengandung tujuh bulan pun tak sempat capai barang-barang bayi, hangus semua," katanya.

Namun dia bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya dapat diselamatkan dalam kejadian awal pagi tadi itu.

Ani bersama kereta miliknya hangus terbakar.
Ani bersama kereta miliknya hangus terbakar.

Dengar bunyi seperti bergendang

Seorang lagi mangsa, Rose Sharif, 61 yang terjaga akibat bunyi seakan-akan pukulan gendang di rumah jirannya.

"Masa itu dah nak 2 pagi saya terbangun sebab ada bunyi macam gendang, saya ingatkan jiran tak tidur lagi.

"Saya keluar buka pintu dan terkejut tengok api dah besar di rumah sebelah.

"Saya jerit panggil anak-anak keluar rumah, kami tak sempat nak selamatkan apa-apa," katanya.

Rose yang tidak dapat menahan perasaan sempat ditenangkan anak dan jirannya.

Anaknya, Fatin Farisya Latif, 23, berkata ketika itu mereka panik dan hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri.

"Katanya kebakaran disebabkan litar pintas dan masa itu dah tak fikir barang-barang lain. Hanya fikir nak selamatkan diri.

"Kakak ipar dan anak saudara umur setahun tiga bulan pun selamat," katanya.

Namun mereka dapat menyelamatkan motosikal yang diparkir depan rumah.

Kelima-lima buah rumah setinggan itu hangus dijilat api dalam kebakaran malam semalam sementara empat buah rumah lain terjejas di bahagian dapur.

Kesan api yang menjulang tinggi turut kelihatan pada tiang elektrik dan pokok di hadapan rumah mangsa.