Nazril Hisham dibenarkan pulang esok

Keluarga Nazril Hisham bersyukur dengan perkembangan positif selepas 21 hari menerima rawatan di Hospital Christchurch.
A
A

SHAH ALAM - Selepas 21 hari menerima rawatan akibat ditembak pengganas kulit putih dalam serangan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, Nazril Hisham Omar, 49, dibenarkan pulang ke rumah, esok.

Isterinya, Dr Zurinawati Mohi, 46, berkata, suaminya kini pulih dan mampu menguruskan diri dengan sendiri walaupun keletihan kerana melalui proses fisioterapi.

"Alhamdulillah. Suami saya sudah boleh bergerak dengan alat sokongan dan kerusi roda. Boleh berus gigi dan mandi menggunakan kerusi khas. Banyak sungguh perubahan. Luka-luka sudah mula kering, benang-benang jahitan juga sudah mula hancur sendiri.

"Insya-ALLAH jika semuanya baik, esok atau lusa suami (Nazril Hisham) boleh pulang untuk proses pemulihan di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zurinawati yang merupakan Pensyarah dari Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, proses pemulihan yang dijalankan di rumah akan dipantau oleh kakitangan pihak Hospital Christchurch.

“Pihak hospital juga menyediakan alatan yang diperlukan serta kaedah yang sesuai untuk bergerak dan membersihkan diri,” katanya.

Selain Nazril, dua lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan pada 15 Mac itu adalah Mohd Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad.

Bagaimanapun, anak kepada Mohd Tarmizi, Muhammad Haziq, 17, meninggal dunia dan selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood.

Dalam kejadian ketika solat Jumaat itu, 50 orang terkorban ditembak pengganas kulit putih yang turut membuat rakaman secara langsung di media sosial.