KJ cabar Abdullah Sani turun ke Rantau

Khairy Jamaluddin
A
A

SEREMBAN - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencabar Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turun ke DUN Rantau sekiranya ingin membongkar isu 'penyelewengan' hak peneroka Felda Sendayan oleh kerajaan terdahulu.

Ini katanya, tidak wajar wakil rakyat PH itu berselindung di sebalik kekebalan Dewan Rakyat untuk membuat tuduhan tidak berasas ke atas calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Saya tidak faham kenapa beliau secara tiba-tiba membangkitkan mengenai isu Felda Sendayan yang beliau sendiri tidak tahu hujung pangkal.

"Jadi saya cabar beliau (Abdullah) untuk turun ke Rantau khususnya Sendayan untuk bercakap mengenai dakwaan Tok Mat (Mohamad) merampas harta rakyat,"katanya ketika berucap dalam program ceramah di Bandar Ekar di sini.

Katanya, sekiranya wakil rakyat kerajaan PH itu gagal menyahut cabaran itu, beliau menganggap ia tidak sebagai politik semata-semata untuk mencemarkan imej Tok Mat.

Tambahnya, isu membabitkan peneroka felda itu telah lama diselesaikan sebaik Tok Mat dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 2004 lalu.

"Isu peneroka Felda Sendayan ini merupakan perkara pertama yang diselesaikan beliau sebaik dilantik sebagai Menteri Besar.

"Jadi, isu mengatakan beliau mengambil hak peneroka itu tidak benar sekali dan ia satu tuduhan tidak berasas,"katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia