Siapa jadi pilihan Anwar?

Zamri, Azman, Johari
Zamri, Azman, Johari
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Tiga nama besar dalam PKR Kedah disebut-sebut antara calon Pengerusi PKR Kedah selepas konvensyen parti itu berakhir lebih dua minggu lalu.

Mereka yang berpotensi dan layak menerajui parti adalah Datuk Johari Abdul (Ahli Majlis Pimpinan Pusat), Dr Azman Ismail (Ahli Parlimen Kuala Kedah/Pengerusi PKR Kedah) serta Zamri Yusuf (Ketua Cabang Alor Setar/Exco Kedah).

Nama ketiga-tiga calon yang juga kalangan senior dalam parti dijangka memberi saingan sengit dalam senarai Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pemimpin yang bakal menerajui parti itu di Kedah.

Pengumuman itu dijangka dilakukan seawal minggu depan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak perlu terburu-buru lantik Anwar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan lantikan PKR selepas bincang kepimpinan negeri]

Zamri ketika dihubungi mengesahkan, proses lantikan Pengerusi PKR Kedah penggal baharu kini dalam proses pemilihan.

“Anwar telah berjumpa dengan semua 15 ketua cabang PKR Kedah, selepas selesai Konvensyen PH Kedah, kelmarin. Pada pertemuan itu, ketua cabang diminta berikan pandangan berkaitan susunan jawatankuasa negeri, termasuk calon pengerusi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zamri yang juga Timbalan Pengerusi PKR Kedah berkata, Anwar akan mempertimbangkan senarai calon yang dicadangka itu sebelum mengumumkan keputusan minggu depan.

“Cadangan calon itu dibuat secara rahsia, berdasarkan nama yang diberikan setiap cabang, Presiden akan pertimbangkan siapa paling sesuai. Malah saya sendiri tidak tahu berapa jumlah calon yang tersenarai,” katanya.

Menurutnya, pertukaran pengerusi parti adalah perkara biasa dan berlaku setiap penggal.

“Pertukaran sana sini adalah proses biasa, pasti ada perubahan jawatan, kemungkinan pengerusi sedia ada dikekalkan atau ditukar juga tidak mustahil. Kita akur siapa terajui parti kelak,” katanya.

Zamri berkata, Presiden PKR mempunyai kuasa mutlak melantik jawatankuasa negeri, termasuk memilih calonnya sendiri.

“Kebiasaan paling lama seseorang itu pegang jawatan pengerusi negeri dua penggal. Kedah antara negeri yang kerap berubah pengerusinya. Mungkin kerana kita ada ramai pemimpin berkaliber,” katanya.

Menurutnya PKR bukan seperti Umno yang membawa budaya memegang jawatan ketua sehingga bertahun lamanya.

“PKR berbeza, kita boleh lihat dalam Umno sampai berakar umbi pemimpin itu pegang jawatan tertentu. Kita bagi peluang kepada pemimpin lain tonjolkan idea baru. Pegang jawatan itu bukan untuk dapatkan keistimewaan,” katanya.

Pada 29 November lalu, Anwar tegaskan jawatan lantikan dalam PKR akan diputuskan sebelum tahun depan. Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau akan mendengar pandangan pelbagai pihak dalam parti dan tidak perlu terburu-buru membuat lantikan.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, mengikut perlembagaan parti, presiden diberi kuasa melantik dua naib presiden, lima anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), seorang setiausaha agung, seorang bendahari, seorang ketua penerangan dan 14 pengerusi negeri.