Rakyat Malaysia kurang pemeriksaan gigi

Yahaya menyempurnakan simbolik perasmian Kembara Sihat 2019 Peringkat Negeri Perak, di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Lekir, di sini, hari ini.
Yahaya menyempurnakan simbolik perasmian Kembara Sihat 2019 Peringkat Negeri Perak, di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Lekir, di sini, hari ini.
A
A
A

SITIAWAN - Kementerian Kesihatan melalui klinik pergigian seluruh negara perlu memperhebatkan kempen kesedaran penjagaan gigi bagi memastikan rakyat mendapatkan pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali.

ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor berkata, masih ada rakyat yang hidup serba kekurangan di kawasan kampung mahupun pedalaman tidak peka dengan kepentingan menjaga gigi mereka.

"Status ekonomi sesetengah rakyat menunjukkan mereka tidak peka, misalnya orang susah mereka kurang mengambil tahu mengenai kepentingan menjaga gigi daripada rosak.

"Jadi inilah peranan klinik pergigian supaya mereka keluar dari kebiasaan dengan mencari pelanggan dan bukan menanti pelanggan datang ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan gigi," katanya kepada Sinar Harian selepas hadir pada Majlis Perasmian Kembara Sihat 2019 Peringkat Negeri Perak, di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Lekir, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kajian menunjukkan lapan daripada 10 rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit pergigian.

"Hanya 27.4 peratus orang dewasa mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam tempoh setahun dan 42 peratus dalam tempoh dua tahun terdahulu.

"Peratusan yang rendah ini adalah kebanyakannya disebabkan oleh persepsi 68 peratus rakyat negara ini bahawa mereka tidak mempunyai masalah dalam mulut," katanya.

Menurut Lay Ming selari dengan dengan slogan, ‘Kami Sedia Membantu’, pihak KKM khususnya melalui Bahagian Kesihatan Pergigian bertanggungjawab memberikan rawatan pergigian.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja dalam aspek rawatan malah yang lebih penting ialah melaksanakan program pencegahan penyakit pergigian, memberi informasi dan seterusnya mendidik rakyat ke arah penjagaan kesihatan pergigian yang holistik," katanya.

Lay Ming berkata, sikap segelintir masyarakat yang hanya pergi mendapatkan rawatan pergigian sekiranya mempunyai simptom sakit gigi juga perlu diubah kerana ia akan menyebabkan gigi mereka rosak lebih awal.