Kalau ditakdirkan saya berkahwin dengan...

syafik-kyle-
syafik-kyle-
A
A
A

PELAKON terkenal, Syafiq Kyle memberitahu dia menerima sekiranya sudah ditakdirkan suatu hari nanti berkahwin dengan seorang pelacur.

Jelas selebriti berusia 27 tahun itu, jodoh dan pertemuan itu sudah ditentukan oleh ALLAH SWT dan dia tidak berhak untuk mempertikaikannya.

"Kalau sudah ditakdirkan saya berkahwin dengan pelacur, saya terima. Itu jodoh yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

"Pelacur itu juga manusia biasa dan mereka tentunya mahu menjalani kehidupan biasa seperti orang lain," katanya ketika ditemui pada sesi pelancaran drama Nur 2 di Laman Wau, Kompleks Kraf, Jalan Conlay, baru-baru ini.

Tambah pelakon yang cukup dikenali dengan watak Ustaz Adam ini, sebagai manusia, tidak wajar untuk menilai seseorang itu berdasarkan siapa individu tersebut ataupun bangsanya.

"Bagi saya pelacur ke LGBT ke, itu semua adalah label semata-mata. Kalau kita mula label orang begitu dan begini, kita akan layan dia dengan negatif.

“Label melabel ini tidak baik, jadi mari kita berhenti labelkan orang. Sama juga seperti kita jangan sesekali labelkan sesuatu kaum itu dengan persepsi negatif,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya harapannya terhadap drama Nur 2 untuk kembali menjadi fenomena seperti sebelum ini, Syafiq berkata dia sudah memberikan yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak akan kecewa sekiranya Nur 2 tidak mendapat sambutan hangat seperti Nur. Namun saya sudah beri yang terbaik dan seikhlas hati dalam menghidupkan watak Ustaz Adam.

"Bagi saya jika kita ikhlas dalam sesuatu perkara yang kita buat, ALLAH akan bagi ganjaran juga akhirnya nanti,” katanya.

Nur 2 yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin, dibintangi barisan pelakon seperti Amyra Rosli, Azar Azmi, Azhan Rani, Noorkhiriah, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Eyra Hazali dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini ditayangkan menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.