Bakal bina kantin baharu SKTPG: Maszlee

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KLANG – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka tawaran tender bagi pembinaan kantin baharu Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang (SKTPG) yang terbakar Ogos lalu.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya mengambil serius isu mengenai lebih 1,000 murid di sekolah terbabit terpaksa bersesak ketika waktu rehat berikutan kantin sekolah belum dibaik pulih.

“KPM mengambil serius laporan akhbar Sinar Harian hari ini (kelmarin) mengenai lebih 1,000 murid di SK Telok Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor terpaksa bersesak ketika waktu rehat.

“Ini kerana pihak pentadbiran sekolah menggunakan tiga khemah untuk menempatkan murid-murid pada masa berkenaan disebabkan kantin sekolah terbakar sejak lapan bulan lalu,” katanya dalam kenyataan media menerusi laman Facebooknya, semalam.

Menurut beliau, kementerian telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan pembaikan kantin di sekolah berkenaan.

“Namun begitu pihak JKR mencadangkan untuk kantin sekolah ini dibina baharu memandangkan kerosakan dialami agak teruk.

“Sehubungan itu, proses permohonan pembinaan baharu sedang diuruskan,” katanya.

Tambah Maszlee, tender kontrak pembinaan kantin akan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Mengambil kira keperluan tender yang telus, perolehan kontrak pembinaan kantin ini akan mengikut prosedur semasa ditetapkan.

“Saya sendiri akan memastikan projek ini segera dilaksanakan demi manfaat anak-anak di sekolah berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, lebih 1,000 murid di SKTPG terpaksa bersesak ketika waktu rehat kerana tempat terhad selepas kantin berkenaan terbakar, sejak lapan bulan lalu belum baik pulih.

Berikutan itu, murid-murid terpaksa makan dan minum di merata-rata tempat disebabkan khemah yang disediakan tidak mampu menempatkan mereka.

Walaupun aduan sudah dibuat, namun sehingga kini, tiada tindakan susulan diambil pihak terbabit.