Solat hajat untuk Acap esok

MOHD YUSOP
MOHD YUSOP
A
A
A

IPOH - Semua masjid di Perak akan mengadakan solat hajat esok dalam usaha membantu pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29 yang hilang sejak 23 Mac lalu ketika menyertai Gopeng Ultra Trail.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, perkara itu diputuskan selepas pertemuan diadakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak tengah hari tadi.

Katanya, solat hajat yang akan dilaksanakan selepas solat Jumaat itu sebagai salah satu ikhtiar dengan memohon kepada ALLAH SWT untuk memudahkan pihak penyelamat mencari mangsa.

"Pada asalnya pihak JBPM minta masjid di daerah Kampar untuk adakan solat hajat itu. Tapi saya fikir semua masjid di Perak boleh sama-sama berdoa membantu memudahkan urusan pencarian Mohammad Ashraf ini.

"Jadi semua masjid di seluruh Perak diminta mengadakan solat hajat ini esok dan kita harap usaha ini dapat membantu semua pihak yang terlibat dalam pencarian ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusop menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti khurafat di kawasan pencarian itu.

Beliau berkata, difahamkan terdapat banyak pihak yang mengaku sebagai pengamal perubatan tradisional melakukan pelbagai ritual kononya membantu pencarian itu.

"Saya minta orang ramai jangan terlibat dengan sebarang aktiviti berbentuk khurafat di kawasan itu. Biar pihak berkuasa yang buat pencarian dan hormati perasaan keluarga mangsa hilang itu.

Artikel Berkaitan:

"Lebih baik kita terus berdoa kepada ALLAH agar Mohammad Ashraf ini segera ditemui," katanya.

Sementara itu, Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan berkata, sebarang pengamalan dalam bentuk khurafat membabitkan bacaan mantera yang bukan daripada al-Quran amat dilarang dalam Islam.

Katanya, ikhtiar terbaik yang boleh dilakukan oleh orang ramai adalah solat hajat dan berdoa.

"Doa itu senjata mukmin satu Malaysia kena berdoa. Itu sumbangan yang boleh kita berikan kepada keluarga Ashraf supaya diberikan kekuatan dan seterusnya ditemui," katanya.