Kaji hukuman alternatif gantikan sebatan

Wan Junaidi membentangkan pencapaian Keluarga Malaysia dan Transformasi Pentadbiran semasa Simposium Keluarga Malaysia bertemakan Pencapaian dan Harapan di PICC hari ini. - Foto Bernama
Wan Junaidi membentangkan pencapaian Keluarga Malaysia dan Transformasi Pentadbiran semasa Simposium Keluarga Malaysia bertemakan Pencapaian dan Harapan di PICC hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji hukuman alternatif bagi menggantikan hukuman sebat yang dilihat terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berpandangan hukuman sebatan sehingga 15 kali dianggap keterlaluan kerana hanya dengan tiga sebatan boleh ‘menghancurkan daging’ seseorang walaupun ramai tidak bersetuju dengan pandangan itu.

"Ini pandangan peribadi saya sebatan ini amat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saya hilang kata-kata apabila sebut pasal hukuman sebat sampai 15 kali...sebat tiga kali pun dah pengsan. Jadi, saya hendak kaji secara holistik bersama pihak tertentu mengenai hukuman itu.

"Lagipun soal sebatan ini diwarisi daripada pihak kolonial dulu. Kenapa mesti kekal perkara ini? Kenapa orang di Malaysia kena sebat, kenapa di England tidak disebat," katanya ketika ditemui media selepas berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di sini, hari ini.

Simposium itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena genap setahun menerajui negara.

Wan Junaidi berkata, hukuman sebatan itu perlu dikaji semula malah dasar transformasi penjara dan kehakiman perlu melihat semula perkara tersebut di samping melihat hukuman gantian kepada undang-undang mati mandatori.

Justeru, beliau berkata, sebuah jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan untuk membuat kajian selain mendapatkan input daripada semua pihak serta pemegang taruh.

Wan Junaidi berkata, menerusi pindaan itu kelak, hakim akan diberi budi bicaranya untuk menetapkan berapa jumlah sebatan yang akan diberikan sesuai dengan kesalahan atau jenayah yang dilakukan.

"Contohnya, kalau seseorang itu latar belakang itu teruk sangat kes dia, contohnya masa dia tahan sebelum bunuh orang itu, dia dera, aniaya dengan kejam sekali, jadi hakim boleh menggunakan budi bicaranya," katanya.

Ditanya hukuman alternatif yang sesuai bagi menggantikan hukuman sebatan, Wan Junaidi berkata beliau berpandangan kaedah sebatan mengikut undang-undang Islam dilihat lebih sesuai.

Beliau berkata kajian hukuman alternatif bagi sebatan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen pada Oktober depan bersama 11 kesalahan yang dijatuhkan hukuman mati mandatori iaitu sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, kerajaan juga akan meneliti syor hukuman gantian bagi satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan lain yang memperuntukkan hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah. - Bernama