Rayuan Jawatankuasa bertindak kuil didengar 15 April

Kuil Sri Maha Mariamman
Kuil Sri Maha Mariamman
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosiding pendengaran tiga perkara di Mahkamah Rayuan berkaitan permohonan Jawatankuasa Bertindak bagi Menyelamatkan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dijadualkan semula kepada 15 April.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid menetapkan tarikh pendengaran baharu selepas membenarkan permohonan peguam M Visvanathan, yang mewakili jawatankuasa bertindak kuil itu, bagi penangguhan pendengaran.

Visvanathan memberitahu mahkamah beliau mahu memfailkan afidavit jawapan kepada afidavit Jabatan Peguam Negara yang diserahkan kepadanya semalam.

Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah tidak membantah permohonan bagi penangguhan itu.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Stephen Chung Hian Guan dan Datuk Lau Bee Lan.

Tiga perkara yang dikemukakan di hadapan Mahkamah Rayuan itu adalah permohonan jawatankuasa bertindak kuil bagi penangguhan inkues sementara menunggu rayuannya (jawatankuasa bertindak kuil) didengar berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Feb tahun ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner menolak permohonan jawatankuasa bertindak kuil untuk menjadi pemerhati pada inkues itu.

Satu lagi adalah permohonan oleh Peguam Negara untuk menolak rayuan jawatankuasa bertindak kuil itu.

Perkara ketiga adalah rayuan jawatankuasa bertindak kuil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Feb tahun ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner menolak permohonannya (jawatankuasa bertindak kuil) untuk menjadi pemerhati pada inkues itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 31 Jan tahun ini, Koroner Rofiah Mohamad menolak permohonan jawatankuasa bertindak kuil sebagai pihak berkepentingan dalam inkues itu atas alasan ia tidak mempunyai kepentingan yang jelas, substantif dan munasabah.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

Menjawab soalan media sama ada rayuan itu akan menjadi akademik kerana prosiding inkues itu hampir berakhir, Visvanathan berkata jawatankuasa bertindak itu boleh memohon untuk semakan semula, sekiranya keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada mereka, dan membenarkan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu. -Bernama