Percutian di Langkawi jadi hasrat terakhir

Muhamad Marhan menunjukkan gambar Allahyarham adiknya ketika bercuti di Langkawi bersama orang tuanya minggu lepas.- Gambar kecil: Allahyarham Mohamad Noriman.
Muhamad Marhan menunjukkan gambar Allahyarham adiknya ketika bercuti di Langkawi bersama orang tuanya minggu lepas.- Gambar kecil: Allahyarham Mohamad Noriman.
A
A
A

KOTA TINGGI - Keluarga Allahyarham Mohamad Noriman, 17, tidak menyangka percutian di Langkawi minggu lalu merupakan hasrat terakhir mangsa sebelum maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran simpang Lok Heng di sini semalam.

Muhamad Marhan Bastamam, 29 berkata, adiknya Mohamad Noriman, 17, sudah lama menyimpan hasrat untuk bercuti jauh dan baru mengikuti rombongan ke Langkawi bersama mak dan abah.

"Hajatnya nak berjalan jauh tercapai bila dapat ke Langkawi dengan mak abah. Sewaktu rombongan itu dia juga kerap berkongsi gambarnya bersama mak abah.

"Balik dari Langkawi dia ada belikan gelang buat kakak sulung yang rapat dengannya. Masa tu gelang tersebut hilang dan dia bersungguh-sungguh mencari sehingga satu rumah. Tak sangka ia pemberian yang penuh bermakna,"katanya.

Tambahnya, adik bongsunya itu merupakan seorang yang periang namun akhir-akhir ini agak pendiam dan suka memerapkan diri di dalam bilik.

Katanya, apa yang membuatkan lebih terkilan adalah adiknya itu yang mengambil subjek elektif ekonomi rumah tangga sepatutnya memasakkan makanan sempena ulang tahun perkahwinan mak dan abah hari ini.

"Barang-barang semua kami sudah belikan untuk dia masak di sekolah namun tidak kesampaian.

"Pagi sebelum kejadian mak juga ada beritahu arwah berkelakuan agak pelik kerana ketika bersalaman dia mencium banyak kali pipi mak dan abah seolah-olah tahu itu adalah ciuman terakhir," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tiga pelajar maut manakala seorang guru cedera selepas Proton Wira dinaiki terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan Kota Tinggi-Bandar Penawar berhampiran simpang Lok Heng semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, ketiga-tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lukman Hakim, Felda Lok Heng itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Mohamad Noriman, 17, dua lagi mangsa ialah Daing Muhammad Afeeq Mohd Afeeq-ur Rahman, 16, dan Muhammad Syafawi Zayadi, 17.

ARTIKEL BERKAITAN Jenazah 3 pelajar dikebumi dalam satu liang lahad