Cadang bina pusat lupus toksik, sampah

Che Zakaria menunjukkan cadangan yang dikemukakan kepada Osman pada minggu lalu ketika sidang media di pejabatnya, hari ini.
Che Zakaria menunjukkan cadangan yang dikemukakan kepada Osman pada minggu lalu ketika sidang media di pejabatnya, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh mencadangkan pembinaan pusat pelupusan toksik dan sampah di Tanjung Langsat.

Menurutnya, pembinaan kilang tersebut penting bagi mengelakkan fenomena pencemaran berulang pada masa akan datang.

"Pelupusan sampah di Pasir Gudang ini sangat teruk, berbau busuk. Kalau tidak dibendung akan menjadi fenomena baharu pencemaran sampah di Pasir Gudang.

"Pelupusan toksik pula hanya ada di Negeri Sembilan sahaja jadi kosnya tinggi. Kalau ada di Johor kos pelupusan lebih rendah," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya perkara itu telah dibawa ke pihak berkuasa tempatan dan lokasi dicadangkan kawasan perindustrian Tanjung Langsat.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Perbadanan Alam Sekitar Darul Takzim bagi mengawal pencemaran alam di negeri ini.

"Minggu lepas saya dah sampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan saya berharap kerajaan negeri luluskan segera.

"Kerajaan negeri keluarkan belanja yang tinggi untuk bersihkan sungai daripada pencemaran toksik jadi kita cadangkan perbadanan untuk buat semua ini di mana caj akan dikenakan kepada kilang-kilang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, konsep ini telah ada di Sabah dan Sarawak dan Johor boleh mempelajarinya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membantah pertukaran Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh yang dikatakan berkuatkuasa Isnin lalu.

"Kalau ditukar, pengarah baru nanti boleh selesaikan ke isu pencemaran? Kalau pencemaran berlaku lagi, tukar lagi?

"Saya mohon pertukaran itu ditangguh dulu sebab Dr Ezanni berpengalaman dan banyak lagi beliau perlu lakukan sebab beliau lebih tahu apa yang berlaku. Kes pendakwaan pencemaran kimia Sungai Kim Kim pun belum habis," katanya.