Operasi cari Acap Sabtu ini tak libatkan bomba

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menafikan pihaknya terlibat dalam operasi 'Misi Mencari MD Ashraf Besar Besaran' pada Sabtu ini, seperti yang tular di media sosial.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Perak, Mohd Fadli Nik Abu berkata orang awam atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu operasi mencari dan menyelamat peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, itu dinasihatkan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sebelum menjalankan aktiviti berkenaan.

“Ini kerana, viral tersebut boleh menyebabkan kehadiran orang awam yang ramai sehingga mengganggu keharmonian di sekitar kampung terlibat.

“Malah, ia akan mengganggu fokus pencarian oleh agensi penyelamat selain aspek-aspek keselamatan kerana terdapat punca penyebab dalam kawasan pencarian seperti contoh gambar yang dijumpai pihak bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Fadli menasihatkan agar sebarang pergerakan masuk perlu merujuk kepada pihak polis, bomba dan agensi keselamatan di pos kawalan pencarian di Kampung Pintu Padang, Gopeng bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Hari ini, viral di laman sosial memaparkan gambar Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap, tertera tulisan “Jom Kome!! Berkumpul di tapak perkhemahan Gua Tempurung, 8 pagi, Sabtu ini”.

Pada gambar itu, turut meminta individu yang ingin menyertai operasi tersebut membawa Radio Komunikasi VHF atau UHF sendiri selain tidak membenarkan membawa peralatan memuja atau aktiviti khurafat.

Mohammad Ashraf dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pada pagi 23 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada hari berkenaan di lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 pagi, hari berikutnya. - Bernama