Star Rating nilai prestasi ketua kampung

Rodziah menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta.
Rodziah menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Kerajaan negeri melaksanakan Penarafan Bintang (Star Rating) bagi jawatan ketua kampung atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Selangor sejak 1 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, penilaian prestasi itu akan dinilai setiap enam bulan.

Menurutnya, sistem itu diperkenalkan sebagai menentukan kelayakan perkhidmatan seseorang ketua kampung itu disambung atau ditamatkan.

"Kerajaan negeri perkenal garis panduan ini bukan sekadar untuk melihat kecekapan ketua kampung sebaliknya membantu mengenal pasti kelemahan yang boleh ditambah baik menerusi latihan serta kursus.

"Sebelum ini penilaian hanya fokus kepada tiga kategori iaitu penubuhan MPKK, laporan minit dan kewangan. Star Rating akan menilai sepuluh segmen yang akan dinilai pejabat tanah dan daerah (PTD) serta jawatankuasa dilantik," katanya selepas merasmikan Majlis Interaksi Pemimpin, MPKK Selangor, hari ini.

Seramai 639 ketua kampung dan setiausaha MPKK seluruh Selangor hadir mengikuti Kursus Induksi selama dua hari bermula semalam bertempat di Hotel Palace of The Golden Horses, di sini.

Rodziah bergambar bersama peserta kursus induksi MPKK.
Rodziah bergambar bersama peserta kursus induksi MPKK.

Rodziah bagaimanapun menjelaskan, pemarkahan melayakkan jawatan itu disambung belum ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kategori itu ada markah tapi kerajaan negeri belum menetapkan markah yang perlu dilepasi bagi peringkat percubaan ini.

"Namun, mereka yang mencapai markah paling rendah akan dinilai sama ada digugurkan lebih awal dari tempoh lantikan atau perlu menjalani beberapa fasa latihan untuk bimbingan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rodziah akan membawa cadangan kenaikan elaun ketua kampung dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Permintaan ketua kampung ini wajar saya pertimbangkan setara dengan urusan kerja mereka yang mencabar.

"Elaun sedia ada ketua kampung adalah RM1,200. Daripada jumlah itu sebanyak RM700 ditanggung oleh kerajaan negeri manakala bakinya dibiayai kerajaan persekutuan," katanya.

Seramai 371 ketua kampung didaftarkan seluruh Selangor buat masa ini untuk tempoh lantikan berakhir 31 Disember 2020.