Premis judi loteri awam haram diserbu

Telefon bimbit, pencetak mudah alih dan wang tunai antara barangan yang dirampas.
Telefon bimbit, pencetak mudah alih dan wang tunai antara barangan yang dirampas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam judi loteri awam haram di beberapa buah premis dalam serbuan yang diadakan tengahari semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 23 hingga 58 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Dadu yang dijalankan bermula jam 12 tengahari hingga 7 malam semalam.

Menurutnya, operasi yang melibatkan empat pegawai dan 22 anggota itu telah menyerbu tujuh lokasi yang mana empat daripadanya telah berjaya.

"Kelima-lima individu itu di empat buah premis berbeza di kawasan Telok Ayer Tawar, Butterworth dan Tasek Gelugor.

"Kita turut merampas empat keping slip kertas dan satu gulung kertas bercetak angka-angka tertera tulisan disyaki judi loteri awam haram.

"Selain itu, kita turut merampas sebuah pencetak mudah alih, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, empat buah pencetak data mudah alih dan sejumlah wang tunai," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan siasatan masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sepanjang tahun ini sejak 2019 Januari hingga penghujung Mac, 112 serbuan dan pemeriksaan premis tempat perjudian sekitar daerah SPU telah dijalankan.

"Daripada jumlah tersebut, 35 tangkapan berjaya dilakukan. Kita akan terus membanteras aktiviti judi khususnya judi loteri awam dan operasi akan diteruskan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti perjudian dalam daerah ini," katanya.

Telefon bimbit, pencetak mudah alih dan wang tunai dirampas.
Telefon bimbit, pencetak mudah alih dan wang tunai dirampas.