Gesa Ketua Pengakap Negara selesaikan konflik

Shamsul Iskandar menunjukkan keadaan di salah satu bangunan di Kem Pengakap Melaka.
Shamsul Iskandar menunjukkan keadaan di salah satu bangunan di Kem Pengakap Melaka.
A
A
A

MELAKA - Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mendakwa kelemahan kepimpinan jadi punca timbulnya kecelaruan dalam kepimpinan pengakap di negeri ini.

Justeru menurutnya, Ketua Pengakap Negara digesa tampil menyelesaikan konflik dalaman pengurusan pertubuhan itu di negeri ini sekali gus memutuskan barisan rasmi kepimpinan bagi Majlis Pengakap dan Pesuruhjaya Pengakap negeri menyelesaikan isu ketirisan pengurusan kewangan oleh ahli jawatankuasa terlibat.

Menurutnya lagi, beliau terkejut apabila Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Norhizam Hassan Baktee dicalonkan sebagai pemangku pengerusi pada awal bulan ini sehingga berlaku pertindihan peranan.

"Sehubungan itu, saya minta Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh menunjukkan kepimpinan beliau dengan memberi maklum balas isu yang telah diunjurkan kepadanya dan memperjelaskan kedudukan kepimpinan jawatankuasa yang sah di Melaka.

"Perkara ini bukan sahaja merencatkan segala program pengakap negeri tetapi turut menyebabkan siasatan ketirisan akaun kewangan pertubuhan telah lesap tidak dapat disiasat dengan baik," katanya dalam sidang media di Kem Pengakap Melaka di Jalan Kampung Pengkalan Badak di sini hari ini.

Jelasnya, pada 10 November tahun lalu, satu barisan jawatankuasa baharu termasuk dirinya telah dipilih dalam Mesyuarat Agung Majlis Pengakap Melaka, namun ia tidak diperakui oleh jawatankuasa tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia kerana tidak mematuhi Prosedur Organisasi dan Peraturan (POR) serta Undang-undang Kecil Pengakap Negeri Melaka kerana gagal membentangkan laporan tahunan kewangan.

Keadaan Kem Pengakap Negeri Melaka.
Keadaan Kem Pengakap Negeri Melaka.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan, Norhizam meminta barisan ahli jawatankuasa Persekutuan Pengakap Melaka sesi 2015 hingga 2018 diberi tempoh selama seminggu untuk menyerahkan segala dokumen berkaitan termasuk laporan kewangan persatuan itu.

Jelas Norhizam lagi, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, jika jawatankuasa lama itu gagal mengemukakan kesemua dokumen terbabit dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Shamsul berkata, setakat ini beliau telah meminta jawatankuasa Bendahari untuk meneliti laporan kewangan sebelum melantik satu jawatankuasa luar bagi menyiasat isu tersebut dalam keadaan yang lebih bersifat telus.

"Setakat ini kita telah mengumpulkan penyata akaun dan meminta mana-mana pihak (kepimpinan lama) yang mempunyai maklumat tampil untuk bersama-sama membantu menyelesaikan isu pertubuhan ini," katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Kehormat Pengakap Melaka, Thomas Ong Tai Chu berkata, sehingga kini pihaknya gagal mengesan aktiviti laporan kewangan bagi tempoh 2016 sehingga 2018 dengan sejumlah RM225,000 digunakan pada tiga tahun lalu.

"Kita tidak ada maklumat tentang aktiviti kewangan dan ahli jawatankuasa yang mengendalikan akaun pada ketika itu juga tidak meninggalkan dokumentasi.

"Selain itu, kita juga mengesan duit aset dengan jumlah bulanan kira-kira RM7,000 yang dikutip secara tunai juga tidak dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan ini," katanya.

Bendahari Kehormat Pengakap Melaka, Thomas Ong Tai Chu menunjukkan penyata kewangan yang diperolehi setakat ini.
Bendahari Kehormat Pengakap Melaka, Thomas Ong Tai Chu menunjukkan penyata kewangan yang diperolehi setakat ini.