Nurul Izzah kembali sertai PAC

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kembali menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas melepaskan jawatan itu, hujung bulan lalu.

Nurul Izzah mengambil keputusan kembali semula memegang jawatan itu selepas kemelut jawatan Pengerusi PAC akan kembali diterajui pembangkang.

Bercakap kepada Sinar Harian, Nurul Izzah berkata, beliau bersetuju menganggotai PAC setelah berbincang dengan Ketua Whip PH, Datuk Johari Abdul dan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof

"Alhamdulillah. Struktur jawatankuasa PAC yang membolehkan semak imbang berlangsung, adalah amat penting buat kepentingan negara.

"Harapan saya agar agenda reformasi sentiasa menjadi keutamaan kita dalam berkhidmat demi rakyat dan negara," katanya hari ini.

Nurul Izzah melepaskan jawatan itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai pengerusi jawatankuasa terbabit selepas menyertai Bersatu.

PH sebelum ini berjanji dalam manifesto PRU14 supaya jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Nurul Izzah dalam status yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya menegaskan Pengerusi PAC perlu diisi oleh pembangkang bagi memastikan kebertanggungjawaban pihak eksekutif.

Artikel Berkaitan:

Hari ini Dr Mahathir menegaskan kerajaan PH komited akan terus mengotakan janji manifesto PRU14 untuk melantik Pengerusi PAC daripada blok pembangkang.

Beliau berkata, bukan niat kerajaan sengaja tidak mahu melantik Pengerusi PAC daripada kalangan pemimpin pembangkang sebaliknya, UMNO sebelum ini tidak memberikan nama calon menggantikan Ronald.

Hari ini media melaporkan, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dijangka dilantik sebagai Pengerusi PAC bagi menggantikan Ronald yang kini telah menyertai Bersatu.

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh juga mengesahkan, ada usul dalam agenda kesembilan dalam aturan Dewan Rakyat untuk melantik Noraini sebagai Pengerusi PAC menggantikan Ronald.