Perbicaraan Najib, pencapaian penting kerajaan PH: Ezam

Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor
Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan, perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes SRC International Sdn Bhd yang bermula semalam merupakan pencapaian penting bagi kerajaan baharu di bawah pentadbiran PH.

Menurut bekas senator itu, buat julung kalinya dalam sejarah pemimpin tertinggi negara dibawa ke muka pengadilan.

"Situasi ini merupakan pencapaian buat kerajaan baharu yang komited melakukan perubahan berbanding pentadbiran sebelum ini yang mana rasuah dan kecurian wang negara 'membarah' dan menjadi budaya kerja.

"Kita melihat negara-negara lain yang membawa pemimpin tertinggi melalui proses keadilan dan meletakkan kepentingan serta maruah negara mengatasi mana-mana individu, akhirnya tampil sebagai sebuah negara berjaya dan berwibawa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sekiranya gagal berlaku adil kepada negara, tidak serius menjaga khazanah dan membiarkan pemimpin terlibat rasuah dan mencuri wang negara bebas termasuk dijulang sebagai wira maka kita akan mewarisi sebuah negara yang tidak bermaruah dan berwibawa.

"Pada masa sama, akan menjadi sebuah negara gagal sama seperti negara-negara lain yang gagal kerana bukan sahaja membiarkan pemimpin korup bebas malah terus dijulang menjadi pemimpin.

"Selain itu, kita juga mengetahui sebahagian besar menteri, menteri besar, ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi dalam pentadbiran lalu amat rakus memunggah kekayaan negara untuk diri sendiri. Mereka ini tidak boleh lepas daripada hukuman manakala harta yang dicuri mesti dikembalikan ke khazanah negara," tegasnya.

Semalam Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan mengubah wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Artikel Berkaitan: