Belasah dua beradik hingga parah

Kedua-dua suspek direman 4 hari untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua suspek direman 4 hari untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari gara-gara membelasah dua beradik disyaki menceroboh kawasan lori milik sepupunya di Kampung Baru Tetambah Manir, di sini, pada Isnin lalu.

Selain lelaki berusia 40-an itu, turut direman bersamanya salah seorang daripada suspek yang didakwa menceroboh kawasan berkenaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dijalankan.

Menurut sumber, pada hari kejadian, kira-kira jam 5 petang, suspek ternampak kelibat dua lelaki dikenali cuba memasuki kawasan stor lori milik sepupunya.

Jelas sumber, suspek menghubungi sepupunya itu untuk memaklumkan kejadian sebelum diminta memantau kawasan tersebut sementara menunggu sepupunya itu sampai.

"Sementara itu, suspek mendakwa berjaya menangkap salah seorang daripada mereka dan cuba bertanyakan tujuan memasuki kawasan tersebut sebelum diberitahu saja-saja dan tidak mengambil apa-apa barang.

"Bagaimanapun sejurus itu, salah seorang penceroboh tersebut cuba melarikan diri dan dibantu oleh abangnya yang bertindak memukul tangan suspek menggunakan batang paip besi sebelum berlaku pergelutan.

"Suspek bernasib baik apabila berjaya diselamatkan oleh seorang rakannya dan selepas itu, kedua-dua beradik tersebut terus melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sumber berkata, masih tidak berpuas hati, suspek dikatakan pergi mencari kedua beradik itu dengan ditemani dua rakannya sebelum terserempak dengan mereka sedang melepak di kawasan tanah lapang atas bukit di kampung berkenaan.

"Suspek terus menuduh mereka mencuri tetapi tuduhan itu dinafikan sebelum suspek menumbuk muka dan memukul belakang badan salah seorang daripadanya menggunakan wayar besi.

"Terkejut melihat adiknya diperlakukan sedemikian, si abang cuba membantu tetapi turut dipukul menggunakan batang besi dan wayar besi sebelum mereka berdua berjaya melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak berhampiran," katanya.

Akibat perbuatan suspek, salah seorang daripada dua beradik itu terpaksa ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kerana cedera parah di bahagian kepala.

Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, suspek membuat laporan polis pada malam kejadian memaklumkan tentang perbuatan kedua beradik itu menceroboh kawasan milik sepupunya.

Manakala, salah seorang suspek ceroboh, 30-an, turut membuat laporan pada keesokan hari selepas kejadian kerana tidak berpuas hati dibelasah sedangkan dakwanya, dia tidak tahu menahu tentang kecurian yang dimaksudkan.